Bila Dr Wan Azizah lawat Adib, ini pesannya...

Wan Azizah menziarahi Muhammad Adib yang dirawat di Institut Jantung Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Anggota bomba yang cedera diserang perusuh, Muhammad Adib Mohd Kasim, 24, perlu pemantauan dan penjagaan rapi bagi mengelak daripada jangkitan kuman.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Muhammad Adib perlu dijaga dengan baik kerana dia mudah terdedah kepada jangkitan.

"Saya pernah jadi doktor dulu, perkara begini memang kena jaga.

"Kita tak boleh ada terlalu ramai pelawat kerana kita semua ini ada membawa kuman-kuman. Dia (Adib) tidak boleh lawan (jangkitan) pada masa ini dan sebab itu saya rasa penting untuk kita jaga semua ini," katanya dalam sidang media di IJN, tadi.

Wan Azizah ketika menziarah keluarga Muhammad Adib di IJN
Wan Azizah ketika menziarah keluarga Muhammad Adib di IJN

Tambahnya, doakanlah, sekurang-kurangnya dengan doa ini, diharapkan Muhammad Adib akan beransur pulih.

Mengulas berkenaan keadaan Muhammad Adib terkini, ahli Parlimen Pandan itu berkata, paru-paru Adib masih lagi cedera teruk, namun dengan rawatan oleh doktor pakar, ia menunjukkan pemulihan.

"Doktor melakukan tugas dengan baik untuk memulihkannya," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Menteri kecam tindakan perusuh]

[ARTIKEL BERKAITAN: Muhammad Adib ditarik dari jentera ketika pasukan berundur]

[ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan Kuil: PDRM tubuh pasukan khas]

Dalam kejadian Selasa lalu, Mohammad Adib dilaporkan ditarik perusuh di kawasan kuil ketika pasukannya berundur dari lokasi di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman.

Dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) termasuk van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki Muhammad Adib diserang dengan balingan batu dan objek lain menyebabkan berlaku kerosakan pada cermin serta badan kenderaan itu.

Dalam situasi panik untuk berundur, mangsa telah ditarik keluar dari tempat duduk penumpang van EMRS oleh perusuh dan dipercayai dipukul sehingga tidak sedarkan diri.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia