Peningkatan kes bukti Covid-19 sudah menular dalam komuniti

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Peningkatan kes harian Covid-19 di Malaysia sejak akhir-akhir ini menunjukkan bahawa jangkitan wabak tersebut sudah menular dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mendapati jumlah kluster telah meningkat.

"Di antara tempoh 23 Jun hingga 6 Julai, terdapat sebanyak 286 kluster dan ia meningkat kepada 347 kluster pada 7 hingga 20 Julai," katanya.

Menurutnya, peningkatan kluster terus dicatatkan bagi tempoh 21 Julai hingga 1 Ogos lalu iaitu sebanyak 401 kluster.

"Terkini ialah sebanyak 213 kluster," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, bilangan kluster komuniti juga meningkat daripada 86 kepada 91 kluster dan terbaharu sebanyak 142 kluster bagi tempoh sama.

"Peningkatan ini susulan daripada saringan kontak rapat yang meluas," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, peningkatan kes Covid-19 di dalam negara adalah seiring dengan peningkatan kes secara global.

Artikel Berkaitan:

"Di Malaysia, kadar insiden tertinggi purata kes tujuh hari bagi tempoh 31 Julai

hingga 6 Ogos per 100,000 ribu penduduk ialah Kuala Lumpur (105.7), diikuti Selangor (101.5), Putrajaya (75.6), Negeri Sembilan (71.7), Melaka (53.8) dan Kedah (51.8)," katanya.

Menurutnya, tahap kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat yang menjalankan ujian kendiri atau pengesanan Covid-19 apabila bergejala atau mengetahui

mereka adalah kontak rapat juga penyumbang kepada peningkatan kes.

"Didapati lebih kurang 70 peratus ujian RTK-Antigen dijalankan oleh agensi swasta," jelas beliau.

Selain itu, beliau berkata, peningkatan tersebut dipercayai disumbangkan oleh penularan varian Delta.

"Sehingga kini, sebanyak 199 kes varian Delta telah dikesan dalam komuniti," katanya.

Tambah beliau, varian Delta menyebabkan kadar jangkitan virus yang lebih cepat, agresif dan kurang menunjukkan respons terhadap rawatan yang diberikan.

"Oleh itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa patuh dan kekal mengamalkan langkah-langkah pencegahan, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mendapatkan vaksinasi Covid-19," katanya.

Mengulas mengenai pengesanan kluster baharu, beliau berkata, terdapat sebanyak 34 kluster telah dikenal pasti KKM.

Katanya, ia membabitkan 19 kluster tempat kerja, 11 kluster komuniti dan tiga kluster kumpulan berisiko tinggi.

"Jumlah keseluruhan kluster ialah 3,863 dan 2,672 daripadanya telah diisytiharkan tamat.

"Terdapat 1,191 kluster masih aktif dan mencatatkan pertambahan kes," kata beliau.