Polis buru suspek rempuh bot pemancing

Polis merampas sebuah bot pam bersama enjin yang dipercayai digunakan suspek.
Polis merampas sebuah bot pam bersama enjin yang dipercayai digunakan suspek.
A
A
A

KOTA KINABALU - Suspek yang merempuh bot dinaiki dua pemancing sehingga menyebabkan seorang maut dan seorang cedera pada Khamis lalu sudah dikenal pasti polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek dikenali sebagai Adam Kamlum atau nama panggilannya iaitu 'Haji', berusia 30-an dipercayai tinggal di Kampung Selangan, Lok Urai, Pulau Gaya.

"Setakat ini, suspek tidak lagi kelihatan di kampung berkenaan dipercayai cuba menyembunyikan diri. Polis percaya dia masih berada di kawasan sekitar Pulau Gaya.

"Bagaimanapun, bot pam bersama enjin yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan dirampas polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir program Ops Bantu Ziarah Qaseh di Balai Polis Tanjung Aru pada Jumaat.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian pada jam 2.40 pagi Khamis, Abdul Hasyim Onong, 35, maut, manakala rakannya, Edhar Ahali, 35, cedera selepas bot yang dinaiki mereka dirempuh bot suspek.

Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke laut manakala suspek terus meninggalkan tempat kejadian.

Kedua-dua mangsa pula terpaksa berpaut pada serpihan bot lebih tiga jam sebelum diselamatkan nelayan lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Berpaut pada bot, pegang erat mayat rakan tengah laut

Artikel Berkaitan: