4,000 balang air bersih diagih kepada penduduk terjejas

Wan Sukairi membantu agihan air bersih kepada penduduk di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang terputus bekalan air sejak Isnin lalu. Foto: Ihsan Facebook Wan Sukairi Wan Abdullah
Wan Sukairi membantu agihan air bersih kepada penduduk di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang terputus bekalan air sejak Isnin lalu. Foto: Ihsan Facebook Wan Sukairi Wan Abdullah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 4,000 balang air bersih diagihkan kepada penduduk terputus bekalan kemudahan asas itu di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Agihan itu dilakukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia dan Iman Care Kuala Terengganu dalam tempoh empat hari sejak krisis air berlaku pada Isnin lalu.

Pengerusi Khidmat Malaysia Kuala Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, setiap satu balang air yang mengandungi 20 liter air bersih itu diagihkan menggunakan treler ke rumah penduduk.

"Antara kawasan menerima agihan air ini ialah di Dun Tepoh, Batu Rakit dan Buluh Gading manakala esok kita akan bergerak ke Manir dan Seberang Takir.

"Air diagihkan kepada penduduk ialah air osmosis berbalik (RO Water) di mana ia boleh terus diminum dan selamat untuk kegunaan seisi rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, proses agihan bantuan air telah dilakukan sejak hari pertama di peringkat DUN masing-masing.

Katanya, agihan air diberikan ialah inisiatif yang diambil NGO Kuala Terengganu dalam membantu penduduk terjejas akibat krisis air yang melanda dua daerah tersebut.

Beliau berkata, agihan air akan diteruskan sekiranya masalah air masih berlaku susulan kerja-kerja pembaikian paip air bersaiz 1,200 milimeter yang pecah di dasar Sungai Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Khidmat agihan air akan diteruskan lagi sekiranya krisis air masih berlaku dan selepas ini akan gerakkan pula untuk agihan air biasa bagi kegunaan rumah seperti mandi dan sebagainya," katanya.

Pada Khamis lalu, Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, gangguan bekalan air membabitkan 28,700 akaun di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin lalu dijangka berlarutan dalam tempoh tujuh hari lagi.

Ia berikutan kerja-kerja pembaikan paip pecah yang dijangka siap pada Rabu depan.