28 individu di Kampung Orang Asli Mokek jalani saringan Covid-19

Seramai 28 individu dari Kampung Orang Asli Mokek, Langkap menjalani ujian saringan Covid-19 selepas menjadi kontak rapat kepada lelaki berusia 46 tahun yang disahkan positif wabak itu baru-baru ini.
Seramai 28 individu dari Kampung Orang Asli Mokek, Langkap menjalani ujian saringan Covid-19 selepas menjadi kontak rapat kepada lelaki berusia 46 tahun yang disahkan positif wabak itu baru-baru ini.
A
A
A

KUALA PILAH- Seramai 28 individu dari Kampung Orang Asli Mokek, Langkap di sini menjalani ujian saringan Covid-19 pada Khamis selepas terdapat kes positif wabak itu di kampung berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, saringan itu melibatkan kontak rapat kepada individu lelaki berusia 46 tahun yang disahkan positif wabak itu baru-baru ini.

"Lelaki berkenaan sebelum ini menjalani saringan bergejala di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk rawatan lanjut.

"Seramai 28 individu yang disaring pada Khamis kini menjalani kuarantin di rumah," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mohd Faizal
Mohd Faizal

Dalam pada itu, Mohd Faizal berkata, terdapat 27 kes positif Covid-19 direkodkan pada Jumaat menjadikan kumulatif kes sebanyak 3,831 sepanjang pandemik setakat ini.

"Jumlah 27 kes baharu itu dikesan di Mukim Ampang Tinggi iaitu 14 kes; Mukim Johol, satu kes; Mukim Pilah, dua kes; Mukim Ulu Muar, lima kes; Mukim Terachi, empat kes dan Mukim Juasseh, satu kes.

"Sementara itu, sebanyak 446 kes aktif direkodkan sehingga kini. Selain itu, sebanyak 15 kes ditempatkan di PKRC, dua kes sedang menerima rawatan di hospital dan 10 kes ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Faizal yang juga merupakan Pegawai Daerah Kuala Pilah turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan hanya keluar rumah apabila perlu selain tidak bersesak-sesak di tempat yang ramai.