Perlu kelulusan verifikasi Imigresen sebelum mohon program rekalibrasi

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Susulan pelanjutan Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin Tenaga Kerja (RTK) sehingga hujung tahun ini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengingatkan majikan untuk memohon dengan Jabatan Imigresen Malaysia terlebih dahulu bagi proses verifikasi dan kelulusan verifikasi pendatang asing tanpa izin.

KSM dalam kenyataan pada Jumaat berkata, setelah mendapat kelulusan verifikasi itu, majikan dipelawa mengemukakan permohonan menerusi laman sesawang www.fwcms.com.my bagi kelulusan penggajian pendatang asing tanpa izin oleh kementerian.

Pelanjutan RTK itu diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri 23 Jun lepas dan mula dilaksanakan mulai 1 Julai hingga 31 Disember ini, dan kerajaan sebelum ini melaksanakan program berkenaan bermula dari 16 November 2020 hingga 30 Jun lepas.

KSM berkata, program RTK itu adalah terbuka kepada sektor perladangan, perkilangan, pembinaan dan pertanian termasuk subsektor perkhidmatan seperti restoran, kargo, borong, runcit, pembersihan serta pencucian.

Sebarang pertanyaan mengenai program itu boleh dibuat dengan menghubungi Urus Setia Pekerja Asing Program Rekalibrasi Tenaga Kerja KSM melalui talian 03-8689 2822 atau e-mel di recab2@mohr.gov.my. - Bernama

Artikel Berkaitan: