X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan rayuan saman Shafee

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusannya berhubung rayuan peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkaitan saman fitnahnya terhadap Majlis Peguam dan dua lagi yang berkaitan dengan peranannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dua lagi terdiri daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri V.C. George.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf yang mengetuai panel tiga hakim menangguhkan keputusan penghakimannya selepas mendengar hujah dari kedua-dua pihak (Muhammad Shafee dan responden) dalam perbicaraan yang berlangsung secara maya menerusi aplikasi Zoom.

Turut bersidang ialah dua Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Pada 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah yang difailkan oleh Muhammad Shafee terhadap responden, dan Mahkamah Rayuan pada 11 Oktober menolak rayuan Shafee, dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 19 Ogos 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan Muhammad Shafee merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Dalam prosiding pada Jumaat, mahkamah mendengar hujah peguam Datuk Ambiga Sreenevasan yang mewakili Thomas; Porres Royan mewakili George, Lambert Rasa-Ratnam bagi pihak Majlis Peguam, manakala Muhammad Shafee bagi dirinya sendiri.

Muhammad Shafee yang memfailkan saman itu pada Mac 2015, mendakwa pada 28 Februari 2015, Thomas yang disokong oleh George telah menerbitkan dan menyerahkan usul untuk dibincangkan di AGM Majlis Peguam pada 14 Mac 2015.

Usul itu berhubung peranan Muhammad Shafee sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rayuan kes liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan, mendakwa beliau (Muhammad Shafee) telah melanggar peraturan profesion undang-undang yang melarang peguam daripada mencari publisiti untuk diri sendiri.

Usul itu turut mendakwa Muhammad Shafee terlibat dalam jelajah di seluruh negara bagi menghina banduan dan menarik perhatian terhadap peranannya dalam sabitan ke atas Anwar.

Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan terhadap Anwar dalam kes liwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara, namun Anwar menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Dalam permohonannya, Muhammad Shafee antara lain memohon pengisytiharan bahawa usul itu mala fide kerana tujuan usul semata-mata untuk memalukan beliau dan AGM bukan forum yang sesuai untuk mendengar usul itu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!