1,263 gagal hadir suntikan dos kedua vaksin di Labuan

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Sebanyak 1,263 orang gagal hadir bagi suntikan dos kedua vaksin Covid-19, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata, mereka telah memberikan pelbagai alasan atas ketidakhadiran walaupun telah diberi peringatan untuk hadir di pusat pemberian vaksin (PPV) terdekat dan penangguhan itu telah menyebabkan peningkatan kos dan pembaziran masa kepada petugas kesihatan.

“Masih terdapat ramai yang gagal hadir untuk janji temu dos kedua, dan kami amat bimbang tentang perkara ini, kerana kami mahu mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi dos kedua,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Dr Ismuni berkata, kebanyakan daripada 1,000 yang gagal hadir itu adalah penduduk tempatan dan hanya sebilangan kecil dari sektor minyak dan gas serta kru kapal.

Beliau berkata, antara alasan yang diberi kerana masalah pengangkutan ke PPV, masih menjalani kuarantin, positif Covid-19, kesihatan baru pulih, baru sembuh daripada jangkitan Covid-19 dan hamil.

“Individu yang telah selesai menjalani kuarantin dan gelang kuarantin mereka telah dipotong, boleh terus mendapatkan suntikan dos kedua, manakala mereka yang bertugas di luar pesisir pantai, mereka boleh mendapatkan kebenaran daripada majikan masing-masing,” kata Dr Ismuni.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Labuan (CITF) telah merekodkan 98.86 peratus atau 67,721 daripada 68,500 orang dewasa dalam bilangan penduduk yang menerima dos pertama vaksin pada Khamis (5 Ogos) dan daripada jumlah tersebut 59,690 telah selesai dos kedua.

Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) telah diberi tanggungjawab untuk menyelaraskan pemberian vaksin secara jumpa terus dan pandu lalu yang menyaksikan ribuan penduduk dari 27 kampung hadir di PPV dan membantu mempercepatkan imuniti kelompok Labuan pada 27 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Pengerusinya, Mohd Dzulfaizal Ab Manan berkata, pasukannya akan melawat individu yang gagal hadir janji temu vaksinasi, untuk memberikan bantuan yang diperlukan.

Labuan telah beralih ke Fasa Tiga Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Rabu (4 Julai) bersama Perlis dan Sarawak, selepas memenuhi nilai ambang yang diperlukan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. - Bernama