X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Seluruh warga pengajian tinggi divaksin menjelang Oktober

Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) bersetuju untuk memberi vaksin kepada seluruh warga pengajian tinggi menjelang Oktober depan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Noraini berkata, pemberian vaksin yang dijalankan secara berperingkat itu adalah sebagai usaha untuk mewujudkan gelembung kampus di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Dengan usaha ini, lebih ramai pelajar dapat kembali ke kampus secara berfasa dan menjalani Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara hibrid,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau pada Jumaat.

Noraini berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan IPT (Pemulih IPT) yang sedang dirangka oleh kementerian itu.

“Dalam Pemulih IPT, beberapa strategi dan SOP (prosedur operasi standard) sedang diperincikan bagi menentukan keadaan mereka yang sudah divaksin selamat untuk berinteraksi sesama sendiri, dalam kelompok yang telah divaksin,” katanya.

Noraini berkata, KPT juga sedang memperhalusi langkah-langkah kawalan dalam mengekang penularan virus Covid-19 di IPT. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!