PM sampaikan Amanat Perdana secara maya esok

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin akan menyampaikan Amanat Perdana secara maya sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 10.30 pagi esok.

Jabatan Penerangan Malaysia dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, Amanat Perdana itu akan disiarkan menerusi semua stesen penyiar dan juga laman Facebook Merdeka360, Jabatan Penerangan Malaysia serta RTM Klik.

Pengisian bagi pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang itu bermula dengan segmen wawancara bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, diikuti ucapan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, selaku penganjur bersama program itu.

"Program seterusnya disusuli dengan segmen ketiga iaitu Ekspresi Merdeka dan diakhiri Amanat Perdana Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021,” menurut kenyataan itu.

Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini kekal seperti tahun 2020 iaitu “Malaysia Prihatin” untuk menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan rakyat Malaysia serta keprihatinan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19, selain sambutan kali ini turut mempunyai sub tema iaitu “Demi Negara”.

Menurut jabatan itu, pelbagai program kenegaraan untuk disertai orang ramai turut dianjur sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dan maklumat mengenai program-program tersebut boleh dilayari di www.merdeka360.my

“Rakyat Malaysia disarankan agar menjadikan pengibaran Jalur Gemilang ini sebagai budaya semangat merdeka sepanjang masa. Sambutan ini juga merupakan satu usaha murni memaparkan solidariti masyarakat Malaysia,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: