5,248 pengasuh tadika, taska berdaftar di Sarawak sudah divaksin

Fatimah Abdullah (tengah) hadir pada program penyerahan Plak dan Perakuan Pendaftaran Taska Berdaftar dan Program Penyerahan Geran Tahunan Khas (GTK) kepada Taska Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak di Taska Pondok Ilmu No.2, pada Jumaat. -foto Bernama
Fatimah Abdullah (tengah) hadir pada program penyerahan Plak dan Perakuan Pendaftaran Taska Berdaftar dan Program Penyerahan Geran Tahunan Khas (GTK) kepada Taska Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak di Taska Pondok Ilmu No.2, pada Jumaat. -foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kira-kira 98 peratus pengasuh atau pendidik di tadika dan taska berdaftar di seluruh Sarawak sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 hingga Khamis.

Berdasarkan statistik yang dimaklumkan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, daripada 5,377 orang pengasuh atau pendidik terbabit, seramai 5,248 daripadanya sudah menerima suntikan vaksin berkenaan.

Daripada jumlah yang sudah menerima vaksin itu, seramai 3,277 orang sudah menerima dua dos.

Sementara itu, seramai 3,747 orang pembantu pengasuh atau pembantu pendidik di tadika juga sudah menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-9.

Dalam pada itu, Fatimah berkata, sejumlah kecil yang belum menerima vaksin itu terdiri daripada pengasuh atau pendidik yang mengandung, baru melahirkan anak atau masih menyusukan anak mereka.

"Kerajaan kita sasarkan semua (program vaksinasi di Sarawak) untuk diselesaikan hujung tahun ini dan saya yakin kita boleh melakukannya," katanya ketika ditemui pada program penyerahan plak dan perakuan pendaftaran taska berdaftar di Taska Pondok Ilmu No.2 Kuching, di sini pada Jumaat. - Bernama

Artikel Berkaitan: