Pendapatan purata isi rumah merosot akibat pandemik Covid-19

Gambar kanan: Mohd Uzir
Gambar kanan: Mohd Uzir
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati pendapatan isi rumah pada tahun lalu mengalami kemerosotan akibat pandemik Covid-19

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pendapatan isi rumah kasar bulanan purata menurun 10.3 peratus untuk merekodkan RM7,089 berbanding RM7,901 pada tahun 2019.

Menurutnya, penurunan tersebut disumbangkan oleh isi rumah atau individu yang mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan terutama mereka yang berstatus pekerja, bekerja sendiri dan lain-lain.

“Bukan sahaja akibat kehilangan pekerjaan, malah turut disumbangkan oleh pengurangan jam bekerja dan peningkatan guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan kemahiran.

“Pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah yang mencatatkan penurunan 11.3 peratus berbanding pada tahun 2019 dan nilai pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah pada tahun 2020 ialah RM5,209 (2019: RM5,873),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Uzir berkata, semua negeri mencatatkan penurunan pendapat isi rumah kasar bulanan purata dan penengah.

Menurutnya, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan penurunan paling rendah serta kekal merekodkan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata dan penengah paling tinggi berbanding negeri lain masing-masing sebanyak RM12,322 dan RM9,743.

Berdasarkan kajian tersebut, katanya, dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639,800 isi rumah pada tahun 2020 berbanding 405,400 isi rumah kepada 8.4 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Insiden kemiskinan tegar pula dianggarkan meningkat daripada 0.4 peratus (2019) kepada 1.0 peratus melibatkan 78,000 isi rumah (2019: 27,200 isi rumah).

“Insiden kemiskinan mutlak mengikut negeri menunjukkan Sabah mencatatkan peratus tertinggi iaitu 25.3 peratus (2019: 19.5 peratus).

“Kelantan mencatatkan peningkatan kemiskinan yang ketara dengan peningkatan 8.8 mata peratus kepada 21.2 peratus dari 12.4 peratus (2019) diikuti Terengganu meningkat sebanyak 5.9 mata peratus kepada 12.0 peratus dari 6.1 peratus (2019),” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, secara keseluruhan penularan Covid-19 telah memberi impak luar jangka kepada pendapatan isi rumah dan mengubah struktur kumpulan isi rumah dan ekonomi dijangka akan bertambah baik dan pulih apabila penularan wabak Covid-19 dapat diatasi.

“Daripada analisis tersebut didapati peranan kerajaan persekutuan dan negeri serta pelbagai pihak amat penting dalam mengurangkan kesan pandemik Covid-19 ke arah memulihkan pendapatan isi rumah dan ekonomi negara.

“Banci penduduk dan perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara dalam talian sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga liputan penuh dapat dicapai.

“Penduduk Malaysia diminta untuk memberi kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada ketinggalan data serta layari portal Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my dan di media sosial @MyCensus2020,” ujar beliau.