X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 08 Julai 2022

Hentikan polemik politik, tumpu perangi Covid-19

Ahmad Faizal (tiga dari kanan) beramah mesra bersama petugas dan penerima vaksin ketika mengadakan lawatan ke PPV IDCC pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM - Semua pemimpin parti disaran supaya menghentikan seketika polemik politik sehingga Dewan Rakyat kembali bersidang pada September depan.

Penasihat Khas Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha kerajaan ketika ini adalah sangat kritikal dalam memastikan pemberian vaksinasi dan usaha bagi memerangi wabak Covid-19 dapat dilaksanakan secara bersama.

Beliau berkata, setiap pihak perlu bersama-sama kerajaan memberi fokus sepenuhnya dalam mencari penyelesaian terhadap isu keselamatan kesihatan dan krisis ekonomi dihadapi negara pada masa ini.

"Saya harap, kurangkanlah polemik politik ini kerana rakyat semakin muak. Saya sebagai orang politik pun makin menyampah dengan perangai orang-orang politik, bayangkan (mereka yang) bukan orang politik.

"Saya fikir, sudah-sudahlah. Kerajaan tak sempurna, pembangkang pun tak sempurna, jadi kita cari jalan untuk kerjasama dan perbaiki kekurangan yang ada," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Khamis turut mengumumkan mengenai pelantikan Ahmad Faizal bagi memegang jawatan sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri.

Ketika diminta mengulas mengenai pelantikan berkenaan, Ahmad Faizal berkata, pihaknya berperanan sebagai penasihat bertaraf seorang menteri yang membantu perdana menteri bagi menangani krisis kesihatan dan ekonomi.

"Antara perkara yang saya perlu beri perhatian adalah melibatkan jalinan komuniti dan masyarakat yang tentunya mempunyai banyak pandangan untuk disampaikan kepada perdana menteri.

"Kita tahu, tak mudah untuk perdana menteri turun padang dan berjumpa rakyat, jadi saya menjadi penghubung jalinan komuniti di samping memberi penumpuan untuk memerangi Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan 31 ahli Parlimen UMNO yang mengambil keputusan untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), Ahmad Faizal berkata, pihak terlibat telah menggunakan kewarasan mereka dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan berbanding bermain politik.

"Kita kena bekerjasama rapat ketika ini untuk pastikan kepentingan rakyat dapat dibela pada waktu mencabar ini," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!