X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

UMNO Bera sokong Ismail Sabri kekal sebagai TPM

Sidang media Ismail Sabri pada Jumaat. -Foto Rosli Talib
A
A

BERA - UMNO Bahagian Bera sebulat suara menyokong keputusan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk kekal dalam kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi meneruskan usaha menangani pandemik Covid-19.

Dalam kenyataannya UMNO Bahagian Bera berkata, sokongan itu turut diterima daripada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Bera.

Menurut kenyataan tersebut, UMNO Bahagian Bera menyifatkan keputusan secara kolektif itu dilakukan dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah supaya usul untuk membahas Ordinan-ordinan Darurat dibawa dalam sidang parlimen dijadualkan pada September nanti.

Menurutnya, ia bermakna kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih absah sehingga persidangan parlimen yang seterusnya samada kerajaan PN mempunyai sokongan atau sebaliknya.

"Pada masa sama, tidak rasional untuk Ismail Sabri meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri memandangkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan agar jemaah menteri dan jentera pentadbiran kerajaan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah kepada rakyat serta negara khususnya menangani pandemik Covid-19," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu lagi, peletakan jawatan satu bentuk penderhakaan yang jelas terhadap Yang di-Pertuan Agong kerana membelakangi titah Seri Paduka Baginda serta akan mensia-siakan segala usaha menangani Covid-19.

"Selain itu, Seri Paduka Baginda juga memperkenankan usul undi percaya dibawa ke parlimen untuk mengabsahkan sokongan ahli parlimen kepada kerajaan.

"Menarik diri dari kerajaan sekarang bermakna sabotaj dan menderhaka kepada titah tuanku," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu UMNO Bahagian Bera menolak sebarang usaha yang mencetuskan kecelaruan politik demi kepentingan sesetengah pihak.

Tambah kenyataan itu, ketika ini negara berdepan ancaman Covid-19 dan kecelaruan politik yang akan mengganggu kelancaran untuk menangani pandemik Covid-19 serta usaha memulihkan sosioekonomi negara.

"Semua pihak sepatutnya memainkan peranan memulihkan negara dalam konteks ekonomi, sosial dan politik khasnya membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok," tegas kenyataan tersebut.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!