Kawasan taman perumahan rekod kes denggi tertinggi

MPK akan memperhebatkan aktiviti pencegahan denggi dari masa ke masa dengan kerjasama jabatan berkaitan.
MPK akan memperhebatkan aktiviti pencegahan denggi dari masa ke masa dengan kerjasama jabatan berkaitan.
A
A
A

SHAH ALAM - Taman-taman perumahan dikesan menjadi lokaliti yang merekodkan wabak denggi tertinggi di Klang bagi tempoh sepanjang Julai lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, sebanyak 69 peratus kes denggi yang dikenalpasti adalah melibatkan taman perumahan manakala 21 peratus membabitkan lokasi pangsapuri dan satu peratus lagi adalah kawasan kampung.

Ahmad Fadzli berkata, jumlah keseluruhan kes demam denggi yang direkodkan mengikut data MPK dan Pejabat Kesihatan Daerah Klang adalah sebanyak 107 kes bagi tempoh berkenaan.

"Antara lokasi yang dikenalpasti menjadi lokaliti wabak denggi adalah Bandar Putera, Bandar Bukit Tinggi, Taman Sentosa, Pandamaran Jaya dan Pangsapuri Taman Permai Indah," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahmad Fadzli berkata, antara faktor penyumbang utama kepada peningkatan kes denggi di Klang adalah disebabkan lorong-lorong belakang rumah dijadikan tempat penyimpanan barangan.

Beliau berkata, bekas tadahan air hujan yang tidak dipantau dan barangan terpakai yang terbiar telah menyebabkan peningkatan kadar kes denggi di sini.

"Selain itu, perlu diakui bahawa tahap kesedaran warga asing yang rendah telah menyebabkan risiko jangkitan kepada penduduk setempat," katanya.

Tambahnya, aktiviti pencegahan secara bersama antara MPK dan Pejabat Kesihatan Daerah Klang juga akan diperhebatkan dari masa ke semasa dalam memastikan wabak berkenaan dapat dikawal.

Artikel Berkaitan:

-end-