Status pembukaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus masih samar

Projek bernilai ratusan juta ringgit itu bermula pada 14 Januari 2016,namun pada 19 Oktober 2018 teah berlaku runtuhan yang mengorbankan sembilan nyawa.
Projek bernilai ratusan juta ringgit itu bermula pada 14 Januari 2016,namun pada 19 Oktober 2018 teah berlaku runtuhan yang mengorbankan sembilan nyawa.
A
A
A

GEORGETOWN - Status pembukaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di Paya Terubong di sini masih samar apabila baki kerja-kerja di tapak projek itu tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini.

Exco Pengangkutan dan Infrastruktur Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, projek itu sepatutnya dibuka pada penghujung tahun ini susulan hanya beberapa peratus lagi kerja-kerja di tapak itu akan siap.

Menurutnya, baki kerja di tapak hanya kurang daripada 10 peratus, bagaimanapun ia tidak dapat diselesaikan ketika ini susulan semua kerja di tapak perlu dihentikan kerana PKP.

"Seperti kenyataan saya sebelum ini pada April lalu, projek ini sudah 94.83 peratus siap berbanding jangkaan 95.11 peratus seperti dijadualkan. Mengikut jangkaan, ia akan dibuka kepada orang awam pada Oktober ini.

"Bagaimanapun, projek ini memang tidak dapat dijalankan kerana PKP dan sudah berbulan tiada perkembangan. Sebelum ini, antara kerja yang dijalankan adalah proses rawatan cerun dan penjajaran semula jalan sambungan ke Jalan Paya Terubong mengikut perakuan pakar geologi, namun terpaksa dihentikan selepas pelaksanaan PKP," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata, tarikh pembukaan lebuh raya berkembar itu bergantung kepada tempoh pelaksanaan PKP dan kerajaan negeri berharap kerja-kerja ini dapat teruskan kerja secepat mungkin untuk kegunaan serta kemudahan rakyat.

"Ini kerana apabila ia siap kelak, ia mampu menyuraikan masalah kesesakan lalu-lintas pada kadar sehingga 30 peratus," jelasnya.

Projek Jalan Berkembar Jalan Raya Paya Terubong (Jalan Bukit Kukus) bermula pada 14 Januari 2016 bagi menghubungkan Lebuhraya Thean Teik, Bandar Baru Ayer Itam ke Lebuh Bukit Jambul, Relau dengan tujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas.

Artikel Berkaitan:

Projek bernilai RM545 juta itu dijangka siap pada Mac 2020 namun terpaksa ditangguhkan kerana beberapa faktor antaranya cabaran di tapak dan proses pengambilan tanah.

Bagaimanapun, dalam tragedi pada 19 Oktober 2018, sembilan mangsa ditemui maut tertimbus manakala tiga lagi cedera apabila 13 kontena yang dijadikan tempat tinggal pekerja tapak ranap ditimpa tanah runtuh.

Projek tersebut melibatkan empat bahagian iaitu bahagian pertama merupakan pelebaran Lebuh Raya Thean Teik dan sudah siap sepenuhnya.

Bahagian kedua di bawah pemaju swasta namun belum bermula kerana masih dalam proses Lembaga Rayuan manakala bahagian ketiga, telah mencapai 30 peratus dan akan siap pada 2021.

Sementara itu, kawasan runtuhan merupakan bahagian keempat di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang melibatkan kawasan Majestic Heights ke Bukit Jambul, Jalan Tun Sardon yang bersambung dengan Bukit Kukus.