China komited sertai kerjasama vaksin global

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BEIJING - Presiden Xi Jinping sekali lagi mengulangi bahawa China sentiasa berpegang teguh dengan konsep komuniti berkongsi kesihatan, membekalkan vaksin kepada negara luar khususnya negara membangun, di samping mempergiat kerjasama penghasilan vaksin.

Dalam ucapannya pada persidangan pertama Forum Antarabangsa Kerjasama Vaksin Covid-19 pada Khamis, Xi berkata, China juga akan sedaya upaya membantu perjuangan negara membangun melawan wabak.

Pada masa sama, Xi turut menyuarakan harapan agar persidangan kali ini dapat mencapai perkembangan baharu termasuk memastikan agihan vaksin secara adil dan menambah tenaga penggerak baharu kepada kerjasama dan perpaduan negara membangun.

Menteri Luar China, Wang Yi ketika mempengerusikan persidangan secara maya itu berkata, dunia kini masih bergelut dengan penularan pandemik Covid-19.

“Masyarakat antarabangsa harus meningkatkan perpaduan untuk memenangi perjuangan melawan wabak ini,” katanya.

Justeru, beliau turut mengemukakan empat cadangan antaranya mengutamakan nyawa dan mempopularkan vaksin ke seluruh dunia, mempertahankan keadilan moral, dan meningkatkan bantuan kepada negara membangun.

Selain itu, Wang menegaskan agar prinsip multilateralisme dijadikan pegangan, keberkesanan kerjasama antarabangsa diperkasakan, serta mempergiat usaha penyelarasan untuk membina pelbagai barisan mencegah wabak.

China akan berusaha untuk membekalkan dua bilion dos vaksin kepada seluruh dunia pada tahun ini, serta menyumbang RMB100 juta (RM65 juta) kepada Pelan Peruntukan Vaksin Covid-19 Global (COVAX) untuk digunakan dalam pengagihan vaksin kepada negara-negara membangun.

Artikel Berkaitan:

Penganjuran forum itu dicadangkan Presiden Xi ketika menghadiri Sidang Kemuncak Kesihatan Global pada Mei lalu. - Bernama