Oktovia mohon maaf keluar dengan Aliff

No Image Caption
A
A
A

PELAKON Oktovia Manrose yang dikaitkan dengan kecurangan penyanyi Aliff Aziz terhadap isterinya, Bella Astillah pada Rabu, akhirnya tampil memohon maaf di atas apa yang berlaku di antara mereka sehingga mengheret kepada kontroversi.

Menerusi posting yang dimuat naik di IG Story miliknya tengah malam semalam, Oktovia yag juga merupakan kakak kepada pelakon Aprena Manrose mengakui kesilapan keluar dengan suami orang dan mengeluarkan kenyataan tentang masalah rumah tangga pasangan tersebut.

“Hari ini adalah hari yang besar dan bersejarah buat saya. Tak pernah terfikir dan plan semua ini berlaku. Tapi ia terjadi dan saya sedar ini kekhilafan daripada diri saya. Saya manusia biasa yang takkan lari daripada buat silap.

“Untuk Bella Astillah, saya tak nak menegakkan benang yang basah. Saya nak minta maaf dengan apa yang dah berlaku. Dan apa yang dah berlaku memang sangat-sangat salah.

“Saya mengakui, saya tak tak patut keluar dengan suami orang. Saya juga tak patut keluarkan statement apa-apa pun sebab dah terang-terang saya yang salah,” akuinya.

Dalam pada itu, Oktovia turut menjelaskan tentang kenyataan awal yang dibuatnya pada petang Rabu dengan menegaskan dia tidak bersalah.

“Kenapa tadi saya jawab macam tu adalah kerana saya terkejut dengan perkataan kasar dari netizen sampai buat saya melantun. Ia sangat menyakitkan hati saya, tapi memang patut pun saya terima semua itu.

“Saya tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu, saya tak patut masuk campur dengan urusan awak dan suami. Saya tak patut cerita tentang rumah tangga awak,” akuinya lagi.

Artikel Berkaitan:

Menerusi status tersebut juga, Oktovia yang juga dikenali menerusi drama Kan Ku Kejar Cintamu ini mendoakan yang terbaik buat Bella dan Aliff.

“Saya harap awak dan Aliff dapat menyelesaikan perkara ini dengan cara elok. Baik-baik bincang. Saya doakan terbaik untuk awak dan keluarga. Amin, insya-ALLAH,” akhirinya.

Terdahulu sebelum itu, Bella pada Rabu mendakwa suaminya, Aliff berlaku curang dengan berkongsi paparan perbualan ringkas dirinya dengan seorang individu yang mendedahkan apa yang dilakukan Aliff bersama Oktovia di sebuah kelab malam.

Ia bukan kejadian pertama kerana sebelum ini penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Sayang Sayang ini turut terheret dengan isu yang sama apabila didakwa berlaku curang dengan seorang pelakon wanita yang digandingkan bersamanya dalam sebuah drama.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada September 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ayden Adrean, 1.