X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Inisiatif bantu sektor pertanian, industri makanan

Muhyiddin berucap sempena Majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan ke-46 yang dijalankan secara dalam talian pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan tidak meminggirkan golongan peladang, penternak dan nelayan apabila menyediakan pelbagai inisiatif peruntukan serta bantuan bagi merancakkan lagi sektor pertanian dan industri makanan negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak RM640 juta diperuntukkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), dan Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Menurutnya, Projek Pertanian Kebuniti dengan nilai RM30 juta diteruskan bagi membantu golongan sasar mempergiatkan lagi aktiviti ekonomi demi kelangsungan bekalan makanan negara dan memperoleh pendapatan secara berterusan.

“Menerusi Bajet 2021, sejumlah RM4.79 bilion telah diperuntukan kepada MAFI untuk terus merancakkan lagi sektor pertanian dan industri makanan negara. Sejumlah RM1.53 bilion peruntukan diluluskan bagi subsidi dan insentif pengeluaran padi negara khusus buat 300,000 orang pesawah.

“Selain itu, bagi memperkasakan lagi industri padi dan beras, kerajaan telah memperkenalkan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) untuk menghapuskan atau mengurangkan peranan orang tengah di sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras negara selain meningkatkan pendapatan pesawah.

“Program ini akan membantu negara untuk mencapai sasaran tahap sara diri (SSL) beras sebanyak 75 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12),” katanya semasa majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan ke-46 yang dijalankan secara dalam talian pada Jumaat.

Muhyiddin berkata, elaun sara hidup bulanan nelayan laut juga dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan, manakala elaun nelayan darat dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan.

Tambah beliau, bagi meningkatkan kemampanan dan pertumbuhan industri ternakan, Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) akan ditubuhkan dan dijangka akan beroperasi secara berfasa bermula pada tahun 2022.

“Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM338 juta di bawah Dana Jaminan Makanan Negara (DJM) bagi memastikan MAFI terus meneroka program-program berpotensi dan berimpak tinggi.

“Peruntukan dan dana-dana ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membantu golongan peladang, penternak dan nelayan selaku kumpulan sasar yang amat penting di bawah MAFI,” ujarnya.

Kata Muhyiddin, sebanyak RM60 juta peruntukan telah diluluskan di bawah DJM yang terdiri daripada Projek Pertanian Organik dan Projek Ladang E-Satelit dijangka akan memberi manfaat kepada seramai 1,700 orang peladang.

Jelasnya, melalui Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025, pengeluaran makanan dan input ternakan secara tempatan akan difokuskan.

“Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) akan dilancarkan tidak lama lagi. Ia berupaya mentransformasikan sektor agromakanan kepada sektor mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan,” katanya.

Beliau turut menyeru para peladang, penternak dan nelayan terutama golongan muda agar menyokong usaha kerajaan membawa teknologi moden seperti penggunaan Internet of Things (IoT), Teknologi Pendigitalan, Teknologi Mekanisasi dan Automasi dalam sektor agromakanan di era Revolusi Industri 4.0 ini.

Jelasnya, ia akan dapat melonjakkan sektor agromakanan ke satu dimensi yang lebih kompetitif, efektif dan berdaya saing dari permulaan aktiviti pengeluaran, lepas tuai, pemborongan, peruncitan serta pengedaran.

“Ia dapat berkembang dengan lebih pantas dan dalam masa sama mampu memberi pulangan lumayan kepada penggiat sektor ini sebagai golongan sasar,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee turut menggesa para peladang, penternak dan nelayan menggunakan teknologi moden dan digital terutama dalam industri huluan dan hiliran.

Kiandee semasa Majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan ke-46 yang dijalankan secara dalam talian pada Jumaat.
Kiandee semasa Majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan ke-46 yang dijalankan secara dalam talian pada Jumaat.

Menurut beliau, ia bagi memastikan produktiviti dimaksimumkan dan pendapatan dapat ditingkatkan, seterusnya menjadikan sektor pertanian lebih maju dan berdaya saing.

Selain itu, katanya, MAFI juga telah menetapkan harga siling atau harga jualan maksimum benih padi sah tidak melebihi RM35 setiap 20 kilogram beg benih padi sah.

“Semua program input dan output pertanian bersubsidi untuk terus menyokong industri padi dan beras akan diteruskan termasuk Insentif Benih padi Sah (IBPS), Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), Skim Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB) dan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP),” ujarnya.

Jelas Ronald, pelbagai bantuan bersasar di bawah pakej rangsangan ekonomi diberikan bagi membantu pengusaha sektor agromakanan yang terkesan untuk kembali pulih dan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing.

Ujar beliau, sebanyak RM13.21 juta telah diperuntukkan kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam membantu golongan B40 menerusi projek tanaman kontan yang berupaya menjana pendapatan dalam tempoh yang cepat.

MAFI juga memperkenalkan Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AiVAC) bagi membantu kerajaan meningkatkan pengambilan vaksinasi dalam kalangan pekerja dan individu-individu yang terlibat dalam sektor agromakanan.

“Ia dilaksanakan bagi melindungi kesejahteraan pekerja-pekerja dan seterusnya membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi serta rantaian nilai makanan di Malaysia.

“MAFI menjangkakan semua yang terlibat bagi sektor agromakanan akan lengkap divaksinasi menjelang November 2021. Saya menyeru supaya seluruh warga peladang, penternak dan nelayan untuk sama-sama menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” ujarnya.

Tambah beliau, jabatan dan agensi sedang giat menggerakkan program bakul makanan MAFI Prihatin di seluruh negara bagi membantu meringankan beban ditanggung golongan yang terkesan.

Katanya, seramai 63,000 penerima di 300 lokasi seluruh negara telah mendapat manfaat sumbangan bantuan 'in-kind' dalam bentuk barangan keperluan harian dan barangan makanan melalui program tersebut.

Info Inisiatif kerajaan

1) RM338 juta diperuntukkan di bawah Dana Jaminan Makanan Negara (DJM) bagi memastikan MAFI terus meneroka program-program berpotensi dan berimpak tinggi.

2) RM60 juta peruntukan telah diluluskan bagi Projek Pertanian Organik dan Projek Ladang E-Satelit yang memberi manfaat kepada seramai 1,700 peladang.

3) Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 dilakukan bagi memfokuskan pengeluaran makanan dan input ternakan secara tempatan

4) Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) akan mentransformasikan sektor agromakanan kepada sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!