Sila log masuk terlebih dahulu.

Pulau Pinang mohon tambahan 500,000 dos vaksin bagi Ogos

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang memohon pertambahan bekalan vaksin sebanyak 500,000 dos bagi bulan ini menjadikan jumlah keseluruhan dos adalah 1.2 juta dos.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, permohonan itu dibuat selepas kerajaan negeri dimaklumkan bahawa Pulau Pinang bakal menerima 707,220 dos vaksin (dos pertama dan kedua) pada Khamis.

Menurutnya, selepas menerima makluman tersebut, beliau telah menghubungi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk permohonan pertambahan bekalan vaksin bagi mencukupkannya kepada 1.2 juta dos.

"Menerusi Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) peringkat Pusat yang dipengerusikan menteri pada Khamis, Pulau Pinang bakal menerima 707,220 dos vaksin bagi bulan Ogos iaitu untuk suntikan dos pertama dan dos kedua.

"Oleh demikian, saya telah menghubungi beliau untuk memohon penambahan bekalan vaksin sebanyak 500,000 dos lagi menjadikan jumlah keseluruhan 1.2 juta dos berbanding yang diperuntukkan kini (707,220)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, berdasarkan pengoperasian terkini Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pulau Pinang mampu mencapai kapasiti suntikan harian berjumlah 40,000 dos.

"Selain mempercepatkan kadar vaksinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini, jaminan bekalan vaksin dimohon juga adalah sangat penting dalam usaha melandaikan laporan kes-kes positif ketika ini.

"Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), kes dijangka meningkat dalam tempoh dua minggu ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pulau Pinang mencatatkan 1,022 kes pada Khamis yang merupakan jumlah kes tertinggi yang dicatatkan setakat ini.