20,889 kes positif Covid-19, rekod tertinggi hari ini

Noor Hisham Abdullah
Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bilangan harian kes Covid-19 terus merekodkan angka tertinggi apabila 20,889 individu dilaporkan positif pada Jumaat.

Ini menjadikan negara mencatatkan peningkatan tertinggi selama tiga hari berturut-turut sejak Rabu.

Pada Rabu, kes harian dilaporkan ialah sebanyak 19,819 kes, manakala Khamis sebanyak 20,558 kes.

Pada Jumaat, lebih 11,000 kes dikesan di Lembah Klang dengan Selangor merekodkan sebanyak 8,792 diikuti Kuala Lumpur (2,483), Kedah (1,371), Sabah (1,291), Johor (1,275), Negeri Sembilan (986), Kelantan (938) dan Pulau Pinang (776).

Lain-lain negeri ialah Sarawak sebanyak 652 kes, diikuti Perak (624), Pahang (610), Melaka (491), Terengganu (460), Putrajaya (122), Labuan (sembilan) dan Perlis (sembilan).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah sebanyak 1,224,595 kes.

"Daripada jumlah kes harian yang dilaporkan pada hari ini, terdapat 273 kes adalah daripada kategori tiga, empat, dan lima," jelas beliau.

Menurutnya, baki 20,616 kes terdiri daripada kategori satu dan dua.

Artikel Berkaitan:

Katanya, data status vaksinasi kes harian Covid-19 menunjukkan 36 individu atau 75 peratus yang didignosa pada kategori lima tidak mempunyai sejarah vaksinasi berbanding hanya 12 pesakit (25 peratus) yang telah mendapat suntikan vaksin.

Bagi kategori satu pula, katanya, seramai 9,150 (90.5 peratus) pesakit Covid-19 tidak mempunyai sejarah vaksinasi, manakala 963 (9.5 peratus) yang dijangkiti mempunyai vaksinasi.

"Secara keseluruhan, hanya 4,292 kes (20.5 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi Covid-19," katanya.

Beliau berkata, terdapat sebanyak 221,396 kes aktif di seluruh negara termasuk 1,096 pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Bilangan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan pula ialah seramai 545 orang," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 160 kes kematian berkaitan Covid-19 membabitkan 142 rakyat tempatan dan 18 warga asing.

"Kematian pada hari ini melibatkan 51 di Selangor, diikuti Johor (32), Kedah (22), Kuala Lumpur (17), Negeri Sembilan (14), Pahang (enam), Sabah (lima), Melaka (empat), Terengganu (empat), Perak (tiga), Pulau Pinang (dua)," katanya.

Berdasarkan ringkasan kes, katanya, terdapat 24 kematian di luar hospital dilaporkan (BID), manakala 136 menghembuskan nafas terakhir di fasiliti perubatan.

Sementara itu, katanya, negara terus mencapai kes sembuh tertinggi iaitu sebanyak 16,394 kes.

"Jumlah keseluruhan kes sembuh ialah 993,020 kes," kata beliau.