Bom tinggalan British seberat 226 kilogram dimusnahkan

Kelihatan kepulan awan selepas operasi memusnahkan bom lama dijalankan pada Jumaat.
Kelihatan kepulan awan selepas operasi memusnahkan bom lama dijalankan pada Jumaat.
A
A
A

BERA - Bom lama tinggalan British seberat 226 kilogram yang ditemui di Felda Triang 1, di sini pada Isnin lalu berjaya dimusnahkan pada Jumaat.

Dua letupan didengari dengan kali pertama pada jam 11.30 pagi diikuti jam 11.53 pagi melegakan 500 penduduk yang terpaksa mengosongkan rumah masing-masing sejak jam 8 pagi pada Jumaat.

Operasi dilakukan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Bukit Aman membabitkan 30 anggota dan pegawai dibantu UPB Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Temerloh dan Bera selainUnit Dron dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi memantau keselamatan.

Penolong Pengarah Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan (CBRNe), Asisten Komisioner Mohammad Rafee Abu Bakar berkata, operasi membabitkan pemusnahan bom lama ataupun unexploded ordnance (UXO) jenis aerial bom seberat 226 kilogram (500 paun) di penempatan terbabit.

Menurutnya, untuk letupan pertama, kaedah yang digunakan adalah membelah bom untuk mengeluarkan bahan letupan bagi mengelakkan letupan besar dan proses letupan kedua pula menghapuskan fius dan booster.

Mengulas penemuan bom di negeri ini, beliau memberitahu, mengikut statistik masih ada banyak bom bukan sahaja di Pahang malah di negeri-negeri lain.

Mohammad Rafee di hadapan benteng pasir yang dibina di lokasi kejadian yang menemukan sebutir bom lama British seberat 226 kilogram pada Isnin lalu.
Mohammad Rafee di hadapan benteng pasir yang dibina di lokasi kejadian yang menemukan sebutir bom lama British seberat 226 kilogram pada Isnin lalu.

"Paling penting, jika jumpa bom lama jangan diusik, sentuh atau alihkan sebaliknya terus laporkan kepada pihak polis," nasihatnya.

Artikel Berkaitan:

Isnin lalu, penduduk di Felda Triang 1, Bera gempar apabila sebutir bom dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua seberat 226 kilogram ditemui oleh seorang peneroka berusia 50-an yang sedang melakukan pembersihan di kawasan ladang kelapa sawit belakang sebuah rumah.

Susulan penemuan tersebut, laporan polis dibuat pada petang Selasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, beliau berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan penduduk sempena operasi tersebut.

"Kita mendapat kerjasama penuh penduduk dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu sejak penemuan bom pada Isnin lalu," ujarnya.