X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Covid-19: Malaysia diramal capai 28,000 kes hujung September

Unjuran Institut Kesihatan Negara (NIH) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) nilai kebolehjangkitan pada penghujung September adalah 1.2 dengan purata keberkesanan vaksinasi sebanyak 70 peratus.
A
A

PUTRAJAYA- Malaysia diramal akan mencapai 28,000 kes harian positif Covid-19 pada penghujung September ini sekiranya kadar pemberian dos kedua vaksin berada pada 100,000 sehari.

Berdasarkan unjuran yang dikeluarkan Institut Kesihatan Negara (NIH) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) nilai kebolehjangkitan pada ketika itu adalah 1.2 dengan purata keberkesanan vaksinasi sebanyak 70 peratus.

Jika kadar pemberian dos kedua vaksin Covid-19 dipertingkatkan sehingga 150,000 sehari, jumlah harian kes positif Covid-19 berada sekitar 22,000 pada akhir bulan ini sebelum berlaku penurunan pada minggu kedua September.

Unjuran terdahulu dibentang pada sidang akhbar khas Covid-19 yang dikendalikan oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

Ia disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal ), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman pada Jumaat.

Dalam pada itu, Dr Hishamshah berkata, peningkatan kes yang sedang dialami negara pada masa ini disebabkan oleh varian baharu, Delta.

"Varian Delta ini mendominasi jangkitan di negara kita berdasarkan penjujukan genom yang dilakukan di makmal," katanya.

Menurut beliau, kadar kebolehjangkitan Delta adalah sekitar lima hingga lapan berbanding varian Wuhan, dua hingga lima.

"Apabila wujud virus baru, cara untuk melandaikan adalah berbeza dan memakan masa," katanya.

Varian Delta ujarnya turut mendominasi jangkitan di Lembah Klang.

"Dengan vaksinasi, kita anggarkan pada 31 Oktober dengan 80 peratus selesai dua dos vaksinasi, ia mula melandai.

"Kes akan memuncak pada akhir bulan ini. Itu andaian kita," katanya.

Perkara sama jelas beliau, boleh dilihat di Labuan dan Sarawak yang mencatat kadar vaksinasi tinggi dan kes baharu yang rendah.

"Tetapi, apa yang lebih penting kita tekankan di sini, kadar kemasukan ke wad unit rawatan rapi (ICU) dan kematian menunjukkan penurunan ketara di Labuan serta Sarawak," katanya.

KKM komited melakukan perkara serupa di Semenanjung terutamanya kawasan hotspot yang mengalami peningkatan jangkitan wabak.

"Penurunan kes mungkin mengambil masa sedikit tetapi yang lebih penting kita mahu melihat penurunan dari segi kemasukan pesakit yang serius," katanya.

Beliau berkata, walaupun 20,596 kes positif dilaporkan pada Khamis, namun pesakit pada kategori empat dan lima yang memerlukan penjagaan di ICU dan ventilator adalah sekitar 0.9 peratus.

"Kategori tiga pula 1 peratus dan jumlah kategori tiga ke atas adalah 1.9 peratus.

"Kita mahu kadar pesakit serius ini dapat dikurangkan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!