Sidang DUN Johor tentukan keabsahan kerajaan negeri, MB

Hasni (empat dari kiri) melihat proses pemberian vaksin semasa melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hopsital KPJ Abdul Samad, Johor Bahru pada Jumaat.
Hasni (empat dari kiri) melihat proses pemberian vaksin semasa melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hopsital KPJ Abdul Samad, Johor Bahru pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor dan Menteri Besar Johor akan ditentukan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula pada 12 Ogos ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, sidang DUN merupakan saluran paling tepat untuk berbincang dan menentukan keabsahan kerajaan negeri termasuk kedudukan beliau sebagai ketua kerajaan negeri.

"Perkara itu semua akan dibangkitkan dalam sidang DUN dan saya sendiri akan buat pendirian terhadap perkara yang berbangkit.

"Demi kestabilan kerajaan (negeri), Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri akan hadir dalam persidangan DUN Johor sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir. Kerjasama wakil rakyat atau ADUN adalah rakan starategik dalam membangunkan negeri Johor," katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hopsital KPJ Abdul Samad di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal pada Khamis yang mendesak UMNO Johor menyatakan pendirian terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Sahruddin dilaporkan berkata, sehingga kini pihaknya masih menanti kenyataan daripada UMNO Johor susulan pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata, pihaknya menjunjung tinggi demokrasi di Johor dan undang-undang tubuh negeri di negeri ini yang menjadi asas kepada sebarang keputusan yang akan dibuat.

"Perkembangan semasa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menentukan keabsahan beliau sebagai perdana menteri di Parlimen seperti mana yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

"Di Johor kalau ahli Parlimen yang sudah diberi mandat buat keputusan, saya tidak mahu sentuh pendirian ahli Parlimen. Namun sebagai ketua kerajaan negeri saya rasakan bahawa perkara yang dibangkitkan ini boleh dibincangkan di Sidang DUN untuk menentukan keabsahan kerajaan negeri dengan keputusan yang dibuat," katanya.

Untuk rekod, kerajaan PN Johor pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad ketika ini mempunyai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

Jika seorang ADUN menarik sokongan daripada PN akan menjadikan kerusi DUN PN dan PH masing-masing 28 kerusi sekali gus DUN Johor akan tergantung atau dibubarkan.