X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 26 Januari 2022

Johor tunggu keputusan MKN isu kuarantin pekerja pulang dari Singapura

Hasni (kanan) melihat proses vaksinasi seorang penerima vaksin semasa melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hopsital KPJ Abdul Samad, Johor Bahru, pada Jumaat.
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri sedang menunggu keputusan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan pekerja Malaysia di Singapura yang sudah mendapat vaksin lengkap pulang tanpa perlu dikuarantin di pusat kuarantin.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, sekiranya dibenarkan, pekerja Malaysia di Singapura yang pulang hanya perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

"Perkara ini sudah dibawa kepada kementerian terbabit dan setakat ini tiada sebarang bantahan. Kita hanya menunggu hitam putih (keputusan rasmi MKN) untuk membenarkan mereka kuarantin di rumah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hopsital KPJ Abdul Samad di sini pada Jumaat.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Pada bulan lalu wujud petisyen dalam talian iaitu https://www.change.org/p/majlis-keselamatan-negara-allow-malaysians-in-singapore-to-return-home-without-quarantine yang memohon supaya pekerja Malaysia di Singapura yang mahu pulang tidak dikenakan kuarantin.

Menurut mereka, ini kerana ketika ini kos kuarantin berjumlah RM10,000 bagi setiap individu menjadi kekangan kepada pekerja Malaysia untuk pulang dan kebanyakan mereka tidak pulang sejak lebih setahun lalu.

Ditanya mengenai jumlah mereka yang mahu pulang, Hasni berkata, setakat ini jumlah pekerja Malaysia di Singapura yang mahu pulang tidak seramai mereka yang mahu masuk ke republik itu untuk bekerja.

Jelasnya, ada dalam kalangan pekerja Malaysia di Singapura tidak mahu pulang kerana berisiko hilang pekerjaan kerana mereka perlu menjalani proses 14 hari kuarantin di negara ini dan apabila masuk semula Singapura akan dikuarantin 14 hari lagi.

"Kerajaan negeri akan berbincang semula dengan kerajaan Singapura berkenaan skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) apabila kes Covid-19 di Johor dan Singapura turun.

"Ini memang menjadi 'top priority' kita dan kita sudah sedia dengan semua prosedur operasi standard (SOP)," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!