390kg buah-buahan untuk petugas barisan hadapan

Hazimin (kanan) menyerahkan sebanyak 390kg buah-buahan bermusim kepada Dr Aidil Asyraf di MDB pada Khamis. - Foto ihsan FAMA Pahang
Hazimin (kanan) menyerahkan sebanyak 390kg buah-buahan bermusim kepada Dr Aidil Asyraf di MDB pada Khamis. - Foto ihsan FAMA Pahang
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 390 kilogram (kg) buah-buahan pelbagai jenis disediakan untuk petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera (MDB) pada Khamis.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, Noh Nik Wan berkata, pemberian itu membabitkan buah durian, manggis, rambutan dan timun yang diagihkan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Menurutnya, sebanyak 50kg buah durian jenis kampung; 100kg timun dan 120kg rambutan serta manggis disediakan untuk petugas barisan hadapan yang menguruskan pemberian vaksin di PPV tersebut.

"Ini kali pertama pihak kami menguruskan sumbangan buah-buahan bermusim kepada petugas barisan hadapan di Pahang terdiri daripada sukarelawan, jururawat, pegawai perubatan dan doktor.

"Usaha dilakukan ini sebagai menghargai jasa petugas barisan hadapan yang banyak berkorban dalam memastikan wabak Covid-19 tidak terus menular di kalangan masyarakat di daerah ini," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Majlis penyerahan buah-buahan itu disempurnakan oleh Pegawai FAMA Daerah Bera, Hazimin Sulong kepada Pengurus PPV Dewan Konvensyen MDR, Dr Aidil Asyraf Mohamed.

Dalam pada itu Noh memaklumkan, pihaknya turut memberikan buah labu manis, nanas, keledek, pisang serta nangka untuk haiwan dalam kurungan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Temerloh dan Bentong.

Sementara itu, Dr Aidil Asyraf berkata, lebih 50 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sukarelawan bertugas di PPV Dewan Konvensyen MDR setiap hari bagi menguruskan pemberian vaksin kepada masyarakat setempat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebanyak 500 hingga 600 dos diberikan setiap hari.