Tempoh 48 jam jawab surat letak jawatan bertentangan perundangan

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Surat yang dihantar UMNO kepada semua ahli Parlimennya bagi menyatakan pendirian peletakan jawatan dan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah bertentangan dengan perundangan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, surat berkenaan dihantar oleh Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dengan memberikan tempoh jawapan dalam 48 jam.

“Kita akan melihat perkara ini dan akan membuat keputusan sama ada ingin menjawab atau tidak surat tersebut, kita akan bincang semula.

“Pada masa sama, arahan daripada presiden melibatkan kami sebagai ahli Parlimen, maka kami mendesak presiden supaya berjumpa dengan setiap ahli Parlimen bagi memperjelaskan tujuan dan hasrat beliau.

“Kita merasakan tidak boleh keluar arahan tiba-tiba tanpa berjumpa dan memperjelaskan kepada kami,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Pada sidang akhbar itu juga, Ismail Sabri mengumumkan seramai 31 ahli Parlimen BN terus menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan supaya keabsahan kerajaan ditentukan menerusi usul undi percaya di Parlimen.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan sebagai wakil rakyat bertanggungjawab, perkara yang amat penting adalah menyelesaikan isu berkaitan Covid-19 dan ekonomi rakyat.

“Kita merasakan bahawa tidak bertanggungjawab kepada rakyat jika meninggalkan kerajaan ini secara tergesa-gesa seperti diarahkan parti.

Artikel Berkaitan:

“Kita sebagai ahli parti yang setia dan objektif serta kita sendiri sebagai wakil rakyat adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Menarik diri serta-merta, menumbangkan kerajaan dan lari daripada tanggungjawab diamanahkan rakyat merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab,” jelasnya.