MCA, MIC kekal pendirian sokongan Muhyiddin, PN

Wee Ka Siong dan Saravanan dalam sidang media bersama ahli Parlimen UMNO dan MIC di sini pada Jumaat. -Foto Rosli Talib
Wee Ka Siong dan Saravanan dalam sidang media bersama ahli Parlimen UMNO dan MIC di sini pada Jumaat. -Foto Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] MCA dan MIC sekali lagi menegaskan pendirian untuk terus menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri serta kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, biro politik parti itu akan membawa ketetapan yang diluluskan Barisan Nasional (BN) pada tahun lalu iaitu menyertai PN sehingga PRU akan datang.

“Selagi keputusan itu kekal, kita terpanggil untuk bawa ketetapan ini bersama rakan dalam BN dengan mementingkan rakyat dalam soal Covid-19. Biar rakyat buat keputusan menerusi PRU nanti,” katanya dalam sidang media bersama ahli Parlimen UMNO dan MIC di sini pada Jumaat.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan seramai 31 Ahli Parlimen BN akan terus menyatakan sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan supaya keabsahan kerajaan ditentukan menerusi usul undi percaya di Parlimen.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, parti tersebut berpegang kepada keputusan Majlis Tertinggi MIC dan pucuk pimpinan BN kerana telah diberikan berpeluang bertanding pada pilihan raya lalu atas tiket gabungan berkenaan.

“Bukan suka suka MIC boleh keluar. Bukan saya sahaja tapi satu Malaysia akan keliru apa pendirian BN bila keluar PN.

“Kerajaan akan jatuh, tidak ada mana-mana pihak boleh tubuhkan kerajaan. Apa akan jadi kepada negara kita dalam keadaan sekarang dengan kes Covid-19 yang meningkat, ekonomi terjejas dan krisis politik. Maka kita kena ikut keputusan peringkat BN,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: