X

Kindly register in order to view this article
!

Peruntukan tambahan Pasar Seringgit PNK Bachok bantu kemudahan nelayan

Che Abdullah (tengah) ketika melakukan tinjauan bekalan makanan dan rantaian pemasaran ikan dan mempromosikan ikan segar beku (Q’Fish) LKIM di Pasar Nelayan Seringgit.
A
A

BACHOK – Pasar Nelayan @ Pasar Seringgit Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok menerima RM95,000 peruntukan tambahan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi kemudahan nelayan di kawasan berkenaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, peruntukan tersebut melibatkan RM45,000 untuk peralatan perniagaan bagi tahun 2020 dan RM50,000 untuk peningkatan bangunan sedia ada tahun ini.

“Jumlah keseluruhan peruntukan Pasar Nelayan Bachok ini dari tahun 2020 hingga 2021 adalah sebanyak RM95,000 dan ia merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi meningkatkan infrastruktur pasar nelayan bagi kemudahan nelayan memasarkan hasil tangkapan secara terus kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Che Abdullah pada Khamis melakukan tinjauan bekalan makanan dan rantaian pemasaran ikan dan mempromosikan ikan segar beku (Q’Fish) LKIM di Pasar Nelayan Seringgit di sini.

Turut hadir Pengarah LKIM Kelantan, Khuzaimah Husain dan Pengerusi PNK Bachok, Saripudin Ishak.

Selain itu, beliau juga turut mengagihkan sumbangan ikan segar beku dari QFish sebanyak 200 peket bernilai RM2,000 dan dilakukan secara pandu lalu melibatkan penduduk setempat di kawasan Kota Bharu.

Untuk rekod, Program Ikan Rakyat LKIM telah diperkenalkan pada tahun 2013 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dan telah dijenamakan semula sebagai Q’Fish sebagai resolusi untuk mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup pengguna.

Antara kebaikan Ikan Sejuk Beku Q’Fish adalah lebih kekal pada nilai khasiatnya jika dibandingkan dengan ikan biasa kerana sistem penyimpanannya yang lebih mengekalkan ciri-ciri semula jadi bagi menjaga kualiti ikan lebih segar dan tahan lama.

Mengulas lanjut, Che Abdullah juga memberitahu, bekalan ikan segar Q’Fish itu disumbangkan oleh PNK Bachok dengan kerjasama oleh LKIM Kelantan dan 1,680 peket dengan peruntukan RM18,000 telah disumbangkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Sumbangan tersebut telah diagihkan di beberapa kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di PKPD Kampung Kutan, PKPD Kampung Ketil, PKPD Taman Merbau Utama, PKPD Taman Purnama dan PKPD Selising.

“Program ini dilaksanakan bagi menunjukkan keprihatinan dan tangunggjawab sosial korporat LKIM Kelantan bersama-sama PNK dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan ( (MAFI) bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan dengan penguatkuasaan PKP 3.0 dan PKPD, termasuk petugas barisan hadapan", katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!