Peningkatan kes Covid-19: Kerajaan teliti, nilai strategi sedia ada

Muhyiddin (kanan) melihat barangan sumbangan yang akan diagihkan kepada penduduk pada majlis Sumbangan Makanan Basah dan Bakul Prihatin kepada Penghulu-Penghulu di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya, Muar pada Jumaat. - Foto Bernama
Muhyiddin (kanan) melihat barangan sumbangan yang akan diagihkan kepada penduduk pada majlis Sumbangan Makanan Basah dan Bakul Prihatin kepada Penghulu-Penghulu di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya, Muar pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan menilai dan memperhalusi strategi sedia ada dalam memerangi pandemik Covid-19 untuk memastikan sama ada ia masih berkesan dalam menangani peningkatan kes positif harian negara yang kini melepasi angka 20,000 kes.

Melahirkan rasa bimbang terhadap peningkatan berkenaan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan dibincangkan pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara yang akan dipengerusikannya, Isnin ini.

"Kita akan bincang lagi Isnin ini...khususnya di kawasan yang cukup terkesan di Greater Klang Valley yang ada dua negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor serta beberapa negeri yang datanya ada menunjukkan peningkatan.

"Kita akan teliti dan perhalusi kenapa perkara itu (kenaikan) berlaku. Apakah langkah-langkah yang diambil ini tidak lagi cukup berkesan..perlukah kita tingkatkan proses membuat ujian saringan dan mengesan kontak dengan lebih banyak?" katanya kepada pemberita di pejabat pentadbiran Penghulu Mukim Sungai Raya, Bukit Pasir, di sini pada Jumaat.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, penilaian akan dibuat berhubung isu dan masalah dalaman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk soal petugas dan ubat-ubatan yang diperlukan seperti tangki oksigen.

"Jadi ada beberapa isu tertentu yang saya akan perhalusi tapi saya nak maklumkan di sini, saya sudah bagi kuasa penuh kepada KKM khususnya jawatankuasa terlibat untuk lakukan apa yang perlu dalam hal-hal tertentu, mereka tidak perlu rujuk kepada saya.

"Mereka boleh laksanakan sendiri walaupun melibatkan perbelanjaan kerana sebahagian besar telah kita peruntukkan dalam bajet untuk KKM dan Jawatankuasa Khas Greater Klang Valley...bajet itu boleh digunakan, saya tak rasa ada masalah," katanya.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, berdasarkan data KKM, sebahagian besar kes Covid-19 adalah dalam kategori satu dan dua manakala untuk kategori tiga, empat dan lima iaitu kes yang lebih teruk hanya di bawah 1.2 peratus.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara yang penting kini adalah memastikan hospital-hospital yang ada sentiasa bersedia dan mampu menyediakan kemudahan seperti unit rawatan rapi (ICU) dan kemudahan lain bagi menampung peningkatan kes harian Covid-19.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan mempunyai strategi baharu untuk menangani kes Covid-19 yang telah melepasi angka 20,000 kes pada Khamis.

Pada Khamis, kes baharu Covid-19 mencatatkan angka 20,596 kes dengan Selangor merekodkan kes tertinggi 8,549, diikuti Kuala Lumpur 2,163 kes dan Kedah 1,446 kes. - Bernama