SPRM nafi penjaga pintu PPV terima rasuah RM80

Tular di media sosial video yang mendakwa petugas pintu masuk di PPV menerima bayaran sebanyak RM80.
Tular di media sosial video yang mendakwa petugas pintu masuk di PPV menerima bayaran sebanyak RM80.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati dakwaan mengatakan penjaga pintu di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah menerima wang sebanyak RM80 bagi setiap orang yang ingin mendapatkan vaksin adalah tidak benar.

SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya menyiasat berkenaan satu video yang tular di media sosial terdapat segerombolan individu warga asing telah beratur panjang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga menyebabkan kesesakan di PPV Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam.

"Dikatakan juga, penjaga pintu di PPV tersebut telah mendapat sejumlah wang rasuah sebanyak RM80 bagi setiap orang yang ingin mendapatkan vaksin.

"Sehubungan itu, SPRM telah menghantar pasukan pegawai risik bagi membuat pemantauan dan mendapati tohmahan yang mengatakan bayaran rasuah RM80 perlu dibayar kepada penjaga pintu adalah tidak benar," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, siasatan turut mendapati kejadian yang berlaku adalah di PPV Pusat Konvensyen Midlands dan bukannya di PPV SACC, Shah Alam sepertimana dikatakan dalam video tersebut.

"PPV Midlands dijadikan Pusat Program Vaksin Pekerja Industri (PPVIN) iaitu sebahagian daripada inisiatif Program lmunisasi lndustri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

"Bagaimanapun, terdapat masalah pada sistem di mana janji temu untuk individu juga terselit di PPV Midlands ini dan punca kesesakan adalah daripada tindakan pekerja asing hadir tanpa janji temu bagi mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin," katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk melaporkan terus apa-apa maklumat berhubung rasuah dengan menghubungi mana-mana pejabat SPRM dan bukannya menghebahkan di media sosial.

Artikel Berkaitan: