Produk kosmetik Skin Revolution dikesan mengandungi racun berjadual

 Produk kosmetik Skin Revolution - Acne Clearing Solution dikesan mengandungi racun berjadual clindamycin dan metronidazole yang boleh memudaratkan kesihatan. - Foto ihsan NPRA
Produk kosmetik Skin Revolution - Acne Clearing Solution dikesan mengandungi racun berjadual clindamycin dan metronidazole yang boleh memudaratkan kesihatan. - Foto ihsan NPRA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Produk kosmetik Skin Revolution - Acne Clearing Solution dikesan mengandungi racun berjadual clindamycin dan metronidazole yang boleh memudaratkan kesihatan.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Norhaliza A Halim dalam kenyataan pada Jumaat berkata, notifikasi produk itu telah dibatalkan sekali gus tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

“Produk yang mengandungi clindamycin dan metronidazole adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan antibiotik (clindamycin dan metronidazole) tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan mudarat kepada kesihatan dan boleh meningkatkan risiko kerintangan yang seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan,” katanya.

Sehubungan itu, penjual dan pengedar produk itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta kerana perkara itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang awam untuk segera menghentikan penggunaan produk itu dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Artikel Berkaitan:

Orang awam turut digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman web rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada aplikasi Google Play Store. - Bernama