Ringgit dibuka rendah pagi ini

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

URUS niaga ringgit dibuka agak rendah pagi ini berbanding dolar AS, mengambil petunjuk daripada potensi harga minyak mentah yang diunjurkan menurun.

Pada jam 9.04 pagi, unit tempatan menyusut kepada 4.2165/2190 daripada dolar AS berbanding 4.2140/2190 pada penutupan petang Khamis.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, China telah menguatkuasakan sekatan pergerakan, termasuk membatalkan perkhidmatan penerbangan dan kereta api bagi membendung penularan varian Delta daripada virus Covid-19.

"Sehubungan itu, permintaan untuk bahan bakar jet mungkin tertekan dalam tempoh sederhana sehingga menimbulkan kebimbangan terdapatnya lebihan bekalan di pasaran minyak dan ini boleh menyebabkan harga minyak menjadi rendah," katanya kepada Bernama.

Selain itu, kebanyakan syarikat besar di Amerika Syarikat turut menangguhkan rancangan untuk kembali sepenuhnya ke pejabat sehingga 2022, dan ini pastinya menyukarkan perkembangan ke aras pembukaan semula ekonomi.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8384/8407 daripada 3.8456/8505 pada penutupan Khamis dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1189/1213 daripada 3.1206/1247.

Bagaimanapun, ringgit lemah berbanding euro kepada 4.9869/9898 daripada 4.9868/9928 semalam dan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.8694/8728 daripada 5.8655/8724 sebelumnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: