Dagangan di Bursa Malaysia rendah pagi ini

Bursa Malaysia memulakan dagangan awal pagi Jumaat ini agak rendah berikutan kebimbangan terhadap kes harian Covid-19 yang telah mencecah paras tertinggi untuk dua hari berturut-turut pada Khamis.
Bursa Malaysia memulakan dagangan awal pagi Jumaat ini agak rendah berikutan kebimbangan terhadap kes harian Covid-19 yang telah mencecah paras tertinggi untuk dua hari berturut-turut pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia memulakan dagangan awal pagi Jumaat ini agak rendah berikutan kebimbangan terhadap kes harian Covid-19 yang telah mencecah paras tertinggi untuk dua hari berturut-turut pada Khamis, sekali gus menjejaskan selera risiko dalam kalangan pelabur.

Bagaimanapun, trend menurun berjaya dikekang oleh sentimen positif yang menyaksikan beberapa negeri telah beralih daripada Fasa Dua ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) selain daripada keuntungan semalaman dicatatkan oleh Wall Street.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 0.65 mata kepada 1,495.58 berbanding 1,495.78 Khamis.

Indeks utama dibuka 0.92 mata lebih rendah pada 1,494.86.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 192 berbalas 122 manakala 262 kaunter tidak berubah, 1,617 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah 213.75 juta unit bernilai RM90.38 juta.

Malaysia mencatatkan 20,596 kes Covid-19 baharu pada Khamis - jumlah harian tertinggi sejak pandemik itu melanda negara ini pada Februari tahun lepas.

Pada Khamis, Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kes bergejala serius akan dijadikan indikator baharu untuk peralihan PPN ke Fasa Tiga dan Empat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, indikator utama baharu itu akan menggantikan indikator kes baharu Covid-19, menggunakan proksi kes kemasukan hospital baharu bagi Covid-19 yang disesuaikan untuk kategori tiga, empat dan lima.

Setelah mencapai kadar vaksinasi 40 peratus penduduk dewasa dan ke atas, beliau menambah bilangan kes baharu Covid-19 menjadi kurang relevan kerana kebanyakan kes adalah kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan (kategori satu dan dua) sekali gus mengurangkan beban terhadap infrastruktur kesihatan awam.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Petronas Chemicals turun tiga sen kepada RM7.97, Tenaga dan CIMB masing-masing susut dua sen kepada RM9.70 dan RM4.53, sementara Maybank, Public Bank, dan IHH tidak berubah pada RM8.04, RM3.96, dan RM5.72.

Bagi saham aktif, Encorp naik 4.0 sen kepada 36.5 sen, YB Ventures meningkat 6.5 sen kepada 63 sen sementara Focus, NWP dan Vsolar tidak berubah, masing-masing pada 4.0 sen, 21 sen dan 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 3.24 mata pada 10,983.98, FBM ACE naik 28.55 mata kepada 7,200.87, FBM 70 mengukuh 16.39 mata kepada 14,573.39, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 0.86 mata kepada 12,069.6.

Bagaimanapun, Indeks FBMT 100 merosot 0.33 mata kepada 10,694.52.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 0.85 mata kepada 14,755.99, Indeks Perladangan susut 1.95 mata kepada 6,095.97, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.13 mata kepada 188.17. - Bernama