X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah diharap kaji semula pengebumian pesakit Covid-19 bergilir

Pertubuhan Amal Warisan Kedah membantu membuat penghantaran jenazah Covid-19 kepada empat lokasi dan menguruskan lima pengebumian di Daerah Kuala Muda pada Khamis.
A
A

SUNGAI PETANI- Kerajaan negeri Kedah diharap mempertimbangkan semula keputusan menguruskan jenazah Covid-19 secara bergilir di 75 kariah di daerah Kuala Muda.

Setiausaha Pertubuhan Amal Warisan Kedah, Mohd Aliudin Barin berkata, ia berikutan keadaan dan kedudukan sesetengah tapak perkuburan yang dirasakan kurang sesuai untuk mempercepatkan pengurusan jenazah Covid-19.

Menurutnya, ruang yang terhad akan memberi kesan terhadap kubur bersebelahan termasuk perubahan struktur tanah dan sebagainya.

"Jadi lebih elok jika mempunyai ruang yang lebih lapang untuk memudahkan proses pengebumian, tidak memberi kesan ke atas kubur sedia ada malah boleh memuatkan lebih ramai jenazah memandangkan jumlah kematian Covid-19 yang semakin meningkat setiap hari.

"Cadangan kami sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu menguruskan jenazah di Kedah ialah agar kerajaan menetapkan satu lokasi strategik bagi pengebumian jenazah untuk memudahkan pengurusan tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

"Sekiranya satu lokasi tetap telah ada, ia memudahkan kerja-kerja pengebumian, memudahkan pergerakan petugas barisan hadapan dan penghantaran jenazah, perancangan waktu mengurus boleh dirancang dan diatur sekali gus menjimatkan masa memandangkan kini lebih banyak kematian pesakit Covid-19 diterima untuk diuruskan setiap hari," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Pertubuhan Amal Warisan Kedah telah membantu membuat penghantaran jenazah Covid-19 kepada empat lokasi dan menguruskan lima pengebumian di Daerah Kuala Muda pada Khamis.
Pertubuhan Amal Warisan Kedah telah membantu membuat penghantaran jenazah Covid-19 kepada empat lokasi dan menguruskan lima pengebumian di Daerah Kuala Muda pada Khamis.

Beliau berkata, saranan itu juga didorong isu keselamatan membabitkan orang awam yang boleh memberi kesan terhadap keseluruhan kes Covid-19 seluruh negara.

"Agak sukar sekiranya pengebumian dilaksanakan secara bergilir di 75 kariah di Kuala Muda dan bertukar setiap hari kerana kita tidak mempunyai sukarelawan yang ramai serta pengangkutan atau van jenazah yang banyak.

"Saya percaya sekiranya hanya satu lokasi tetap dipilih tanpa perlu bergilir akan lebih memudahkan dan perkara ini juga sesuai dicadangkan di negeri lain memandangkan isu keselamatan membabitkan Covid-19 bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah ditambah pula dengan jumlah pesakit positif semakin meningkat," jelasnya.

Bagaimanapun, Mohd Aliudin berkata, keputusan berhubung perkara itu terletak di pihak kerajaan dan pihaknya akur sekiranya diarahkan berbuat demikian (bergilir).

Pada Khamis, Pertubuhan Amal Warisan Kedah telah membantu membuat penghantaran jenazah Covid-19 kepada empat lokasi dan menguruskan lima pengebumian di daerah Kuala Muda.

Antaranya pengebumian di Sungai Gurun, menguruskan jenazah dari Hospital Sultan Abd Halim (HSAH) ke Jeniang, dari HSAH ke Sungai Pasir, dari HSAH ke Telok Amboi dan dari HSAH ke Teluk Nipah, Kota Kuala Muda.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini mengumumkan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 akan dilaksanakan secara bergilir bermula di daerah Kuala Muda susulan peningkatan kes kematian di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani yang mencecah sehingga 10 hingga 12 jenazah sehari.

Menurutnya, tanah perkuburan di 75 kariah sekitar Kuala Muda dipilih secara bergilir setiap hari sebagai tempat pengebumian mangsa Covid-19 bagi memastikan proses pengebumian dipercepatkan dan berjalan lancar.

Menurut Muhammad Sanusi, keputusan itu dibuat disebabkan kekurangan petugas pengurusan jenazah dan Inspektor Kesihatan di daerah itu.

ARTIKEL BERKAITAN:Kedah laksana pengebumian jenazah pesakit Covid-19 berpusat


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!