'Kami tak mampu'

Berat Nur Fikriah hanya 3.5kg berbanding sepatutnya 5kg apabila ibu bapanya tidak mampu menampung kos susu disyorkan doktor.
Berat Nur Fikriah hanya 3.5kg berbanding sepatutnya 5kg apabila ibu bapanya tidak mampu menampung kos susu disyorkan doktor.
A
A
A

PULAI CHONDONG - Seorang ibu tidak sangka, anaknya yang dilahirkan tidak cukup bulan disahkan menghidap hydrocephalus atau penyakit lebihan cecair dalam otak.

Nik Ishazalwani Ismail, 37, berkata, bayinya, Nur Fikriah Elias, 7 bulan, tidak mampu bergerak atau merangkak sebagaimana bayi seusianya apabila kepalanya membesar sejak berusia dua bulan.

Menurutnya, sejak melahirkan anak bongsunya itu, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu di stesen minyak dan terpaksa menjual kereta bagi menampung kos sara hidup keluarganya.

Katanya, dengan pendapatan suami RM1,000 sebulan sebagai pengawal keselamatan tidak mencukupi, malah gaji turut ditolak apabila suaminya terpaksa bercuti bagi mendapatkan rawatan susulan untuk Nur Fikriah.

“Setiap bulan, kami perlu berulang-alik ke hospital sekurang-kurangnya empat kali. Akibat masalah kewangan juga, kami tidak mampu membayar bil Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu yang masih berbaki RM500.

“Doktor nasihatkan saya berikan anak susu jenis Dumex Dupro Post Discharge memandangkan beratnya tidak seiring dengan umur, tapi kami tak mampu dan hanya berikan Dumex Dupro biasa. Beratnya kini hanya 3.5 kilogram, sepatutnya sudah mencecah 5 kilogram,” katanya kepada Sinar Harian.

Nik Ishazalwani berkata, selain Nur Fikriah, dia juga mempunyai dua anak berusia 8 dan 4 tahun.

Lima beranak itu kini tinggal menyewa di Kampung Alor Melaka, dekat sini, dengan kadar sewa RM150 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional, Elias Zakaria di nombor 030134100013206