5,200 penduduk Flat Gugusan Semarak terlibat PKPD

Johary Anuar (kanan) bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (kiri)
Johary Anuar (kanan) bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (kiri)
A
A
A

PETALING JAYA - Dianggarkan sekitar 5,200 penduduk terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Flat Gugusan Semarak, PJU 5 di sini selama 14 hari bermula tepat jam 12 tengah malam pada Jumaat.

Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar berkata, kesemua 13 blok yang terdapat dalam kawasan pangsapuri lima tingkat itu akan dipasang kawad berduri sepanjang 1.2 kilometer mengelilingi perimeter kawasan perumahan di tersebut.

“Sepanjang tahun 2021, Gugusan Semarak merekodkan sebanyak 350 kes positif Covid-19 dan menunjukkan trend peningkatan yang tinggi.

“Secara keseluruhan kawasan PJU 5 mencatatkan 4,432 kes yang merupakan di antara 10 lokaliti dengan angka jangkitan tertinggi di daerah Petaling,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini pada lewat malam Khamis.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid untuk memantau persiapan sebelum pelaksanaan PKPD tersebut.

Menurut Johary, langkah itu diambil untuk mengekang penularan Covid-19 dalam kawasan PJU 5, tambahan pula pihaknya turut mengesan kes jangkitan dalam kalangan warga asing yang tidak dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Dalam pada itu, beliau berkata, 60 peratus penduduk di kawasan tersebut terdiri daripada warga tempatan dan bakinya adalah warga asing yang mana kesemuanya akan disaring serta diberikan vaksin sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD tersebut.

Sementara itu, Sivarasa memohon agar penduduk bersabar dan memberi jaminan bahawa pihaknya akan turut menyediakan makanan segar untuk memastikan setiap penduduk mempunyai bekalan yang mencukupi.

Artikel Berkaitan:

“Mereka akan terima bekalan makanan sekurang-kurangnya dua kali sehari dan pihak saya akan turut mencari sumbangan lain sebagai tambahan kepada penduduk di sini.

“Saya faham tempoh 14 hari ini adalah sukar bagi penduduk, tapi saya minta mereka bersabar kerana kita tidak mahu seluruh kawasan Damansara dijangkiti wabak Covid-19,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:PKPD di 13 lokaliti di lima negeri