SD masih relevan tentukan keabsahan perdana menteri

Muhyiddin menawarkan bulan September sebagai masa undi percaya.
Muhyiddin menawarkan bulan September sebagai masa undi percaya.
A
A
A

SHAH ALAM - Surat akuan bersumpah (SD) masih lagi relevan untuk digunakan bagi menentukan keabsahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa perlu menunggu sidang Dewan Rakyat di Parlimen.

Pensyarah Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, kaedah di luar Dewan Rakyat itu merupakan satu-satunya cara berkesan untuk menunjukkan sama ada seseorang perdana menteri telah hilang majoriti atau sebaliknya.

Menurutnya, mana-mana pihak yang mendakwa perdana menteri sudah hilang majoriti atau sebaliknya boleh berbuat demikian dengan mengemukakan jumlah SD ahli Parlimen menyokong atau tidak.

"Tapi, pada pandangan saya, apa yang terbaik (jika ingin kemukakan SD) ialah dengan satu bentuk pembentangan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai jumlah sebenar seseorang itu mempunyai sokongan majoriti atau tidak.

“Maknanya bukan dengan cara sedikit-sedikit (hantar SD beberapa kali) seperti yang berlaku ketika ini tetapi hantar sekali gus senarai ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokong atau tidak menyokong perdana menteri.

“Saya rasa kalau begitu (bentang kesemua senarai SD), mungkin ia akan menjadi lebih konkrit untuk Seri Paduka Baginda melihat, mengkaji, meneliti dan seterusnya membuat keputusan yang lebih objektif,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Nik Ahmad Kamal
Nik Ahmad Kamal

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada SD masih lagi relevan untuk digunakan bagi menentukan keabsahan perdana menteri atau perlu menunggu sidang Dewan Rakyat September ini.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan menghantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, mengandungi senarai tambahan ahli Parlimen daripada parti itu yang mempunyai tandatangan SD bagi menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Sementara itu, Nik Ahmad Kamal berkata, apabila Ahmad Zahid beberapa kali mempersembahkan senarai SD ahli Dewan Rakyat yang didakwa tidak lagi menyokong Muhyiddin kepada Seri Paduka Baginda, ia boleh mewujudkan pelbagai persepsi.

“Dalam konteks ini, sukarlah bagi Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan apabila kelmarin (Selasa), Ahmad Zahid bentangkan jumlah (ahli Dewan Rakyat) yang tidak menyokong dan hari ini (Khamis) tambah lagi.

“Jadi, ini akan menimbulkan tekanan kepada istana untuk menentukan betul atau tidak dan sebagainya,” ujar beliau.