Karathu akui kecewa prestasi skuad Seladang

Kekalahan terbaharu Perak FC kepada Penang FC meneruskan prestasi tidak menentu Bos Gaurus dalam baki saingan Liga Super. FOTO: Perak FC Gambar kecil: Karathu
Kekalahan terbaharu Perak FC kepada Penang FC meneruskan prestasi tidak menentu Bos Gaurus dalam baki saingan Liga Super. FOTO: Perak FC Gambar kecil: Karathu
A
A
A

LEGENDA Perak, Datuk M Karathu mengakui kecewa dengan prestasi dipamerkan Perak FC dalam beberapa aksi terakhir sehingga terperosok dalam kelompok bawahan Liga Super.

Justeru, Karathu berharap barisan kejurulatihan Perak FC kembali menyuntik elemen baharu dalam meningkatkan prestasi skuad The Bos Gaurus dalam baki perlawanan liga musim ini.

“Jika diimbas kembali sejarah lalu, Perak pernah menduduki tangga kedua terakhir (Divisyen Satu) pada 1988 dan tersingkir ke Divisyen Dua pada 1989 yang ketika itu masih Liga Semi Pro.

“Kemudiannya, saya datang kendali Perak dan membawa pasukan kembali ke Divisyen Satu pada 1990 selepas setahun berada dalam Divisyen Dua. Sekarang selepas 31 tahun, Perak sedang menuju kembali ke Divisyen Dua (Liga Premier).

“Jadi dalam situasi sekarang, pemain-pemain Perak FC yang dipilih harus mempunyai mentaliti untuk menang dalam setiap perlawanan bagi mengelak mereka menghuni kelompok bawahan liga.

“Cuma saya tidak pasti sama ada pemain-pemain Perak FC menerima gaji tepat pada masanya kerana sebarang kelewatan boleh menjejaskan prestasi semasa pemain,” katanya kepada Sukan Sinar.

Pada masa sama, Karathu percaya Perak FC masih memiliki ramai pemain muda yang berkualiti selepas melakar keputusan seri menentang KL City FC minggu lalu.

“Dalam bola sepak profesional, tekanan dan cabaran merupakan satu lumrah yang perlu dihadapi, namun pemain-pemain perlu meletakkan kejayaan kelab sebagai keutamaan.

Artikel Berkaitan:

“Rancang sebaik mungkin pendekatan taktikal dalam baki perlawanan terakhir, berapa mata perlu dikutip, berapa perlawanan perlu Perak menang untuk kekal dalam Liga Super,” jelasnya.

Pada Isnin, pengurusan Perak FC mengambil tindakan merehatkan sementara pengendali The Bos Gaurus, Chong Yee Fatt susulan prestasi buruk skuad kendaliannya.

Tugas membimbing Perak FC yang hanya melakar satu kemenangan dalam enam perlawanan terakhir kini digalas penolong jurulatih, Shahril Nizam Khalil.