X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk Perlis lepas gian makan di restoran

Hezry Aikal Hasmirizal, 21, dan Safiah Ismail, 30, menjamu selera di tepi pantai Kuala Perlis sambil menikmati pemandangan matahari terbenam.
A
A

KANGAR - Penduduk di sekitar Perlis tidak melepaskan peluang menikmati makanan di restoran selepas negeri itu memasuki fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Rabu.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa restoran popular di negeri ini pada Khamis mendapati orang ramai memanfaatkan kelonggaran itu dengan menikmati makanan kegemaran mereka di kedai makan.

Pengunjung, Muhammad Haikal Zamiri, 21, ketika ditemui berkata, dia dan sahabatnya, Muhammad Haziq Zul Asyraf Nor Suriyami, 21, mengambil kesempatan 'melepaskan gian’ menikmati nasi kandar di sebuah restoran terkenal di pekan Arau.

“Di sini, memang tempat kami melepak ramai-ramai, tetapi disebabkan prosedur operasi standard (SOP) satu meja dua orang sahaja, jadi hari ini saya hanya datang dengan Haziq.

“Lama tak makan nasi kandar. Kalau bungkus, feel tak sama. Makan di kedai, baru puas hati,” katanya yang berasal dari Kangar.

Dalam pada itu, pekerja restoran terbabit, Nur Syakirah Shafie, 25, berkata, mereka sentiasa mengamalkan SOP seperti yang digariskan termasuk menjarakkan dua meter setiap meja.

“Sekarang kita cuma tempatkan 20 meja dalam kedai dan 12 meja di luar kedai berbanding sebelum ini 50 meja,” katanya.

Menurutnya, sejak dibenarkan makan di restoran, kedai itu menjadi tumpuan pelanggan pada waktu pagi dan tengah hari.

“Semalam (Rabu) kurang sikit. Hari ini (Khamis) sudah bertambah pelanggan.

“Selalunya mereka akan memesan nasi kandar atau tosai jika makan di sini,” katanya sambil menambah kanak-kanak berusia bawah 12 tahun tidak dibenarkan berada di restoran berkenaan.

Antara pelanggan di Restoran Capati Arau pada Khamis.
Antara pelanggan di Restoran Capati Arau pada Khamis.

Pemilik Restoran Capati Arau, Wan Muhammad Hafizzuddin Wan Mohd Shariff, 23, memberitahu dia baru memulakan operasi pada Khamis dan menerima pelanggan di luar jangkaannya.

“Alhamdulillah, hari ini (Khamis) yang datang makan di sini kebanyakannya adalah pelanggan tetap restoran kami.

“Semalam (Rabu) kami ambil kesempatan untuk membuat persediaan dahulu. Jadi hari ini, baru kami buka untuk makan di kedai,” katanya.

Pelanggan restoran terbabit, Muhamad Hafiz Harun, 28, pula berkata, dia mengunjungi restoran berkenaan untuk melepaskan kerinduan pada makanan kegemarannya iaitu capati.

“Baru hari ini saya berani keluar. Sebelum ini, walaupun boleh bungkus tetapi saya berasa takut juga sebab kes Covid-19 agak tinggi,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, setakat ini kerajaan negeri berpuas hati dengan pematuhan SOP yang diamalkan pemilik restoran dan pelanggan.

Katanya, pemantauan pihak berkuasa mendapati peniaga mula membuka perniagaan mereka mengikut waktu operasi yang dibenarkan selain turut mematuhi SOP digariskan.

“Bagaimanapun, dengan bantuan pihak berkuasa, kita akan terus membuat pemantauan dari masa ke masa untuk memastikan tiada peniaga yang lalai dengan SOP terbabit.

“Untuk peringkat awal ini, sekiranya ada restoran yang kita dapati membiarkan pelanggan terlalu ramai sehingga tiada kawalan, kita akan berikan nasihat dan panduan terlebih dahulu supaya perkara ini tidak berlarutan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga berharap agar rakyat Perlis tidak leka dan sentiasa mengutamakan SOP supaya negeri ini dapat bebas daripada pandemik Covid-19.

“Memang Perlis ini negeri yang kecil, penduduknya pun sekitar 250,000 orang sahaja tetapi kalau kita tidak jaga, penularan Covid-19 akan lebih cepat berlaku,” kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!