Thailand tambah pusat kuarantin komuniti, atasi bebanan hospital

Sehingga kini lebih 100,000 pesakit telah menjalani kuarantin di rumah dan di pusat komuniti seluruh negara. -Foto 123RF
Sehingga kini lebih 100,000 pesakit telah menjalani kuarantin di rumah dan di pusat komuniti seluruh negara. -Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Berikutan kes Covid-19 yang memuncak, Thailand menambah bilangan pusat kuarantin komuniti serta meningkatkan jumlah mereka yang dikuarantin di rumah bagi pesakit tidak bergejala atau mempunyai simptom ringan untuk mengurangkan bebanan di hospital.

Pengarah Bahagian Berita dari Jabatan Penerangan Kementerian Luar Pensom Lertsithichai berkata, sehingga kini lebih 100,000 pesakit telah menjalani kuarantin di rumah dan di pusat komuniti seluruh negara.

"CCSA telah menyusun semula sumber untuk berjasama dengan masyarakat dan sektor swasta bagi membantu merawat pesakit yang menjalani kuarantin di rumah dan di komuniti. Setakat ini, terdapat lebih 100,000 pesakit berdaftar dalam sistem kita.

"Di Bangkok, terdapat 64 kemudahan kuarantin komuniti dengan 43 peratus pesakit," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Khamis.

Pensom berkata, inisiatif itu akan diperluas ke tokong dan komuniti di seluruh negara.

Bermula bulan lalu, pihak berkuasa kesihatan memperkenalkan kuarantin rumah dan komuniti kepada pesakit Covid-19 tanpa gejala di Bangkok dan wilayah berdekatan.

Setakat ini, 213,910 pesakit masih dirawat di hospital termasuk di hospital medan dengan 4,993 pesakit dalam keadaan serius dan 1,058 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terkini, kes Covid-19 Thailand mencatatkan satu lagi rekod tertinggi dengan 20,920 kes baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah jangkitan dalam negara sebanyak 693,305.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 160 korban telah dilaporkan, merekodkan kematian keseluruhan kepada 5,663 sejak pandemik itu bermula Januari tahun lalu.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, kes baharu itu termasuk 262 banduan dan lapan kes import.

Beliau berkata, kematian baharu melibatkan 90 lelaki dan 70 wanita berusia antara 12 hingga 95 tahun termasuk dua wanita hamil.

"Bangkok kekal dengan jumlah kes baharu tertinggi pada 4,140 dan 78 kematian dalam tempoh 24 jam," katanya. - Bernama