Azizulhasni simpan pecutan, janji berjuang habis-habisan acara keirin

Azizulhasni - Foto Bernama
Azizulhasni - Foto Bernama
A
A
A

TOKYO - Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang berjanji akan berjuang habis-habisan dalam acara kegemarannya iaitu keirin di Sukan Olimpik Tokyo, Sabtu ini.

Azizulhasni yang mendapat julukan The Pocket Rocketman itu berpendapat peluangnya untuk mengungguli acara keirin tampak cerah selepas terlepas peluang melayakkan diri ke peringkat suku akhir acara pecut pada Khamis.

Azizulhasni yang merupakan pemenang pingat gangsa keirin di Rio 2016 sebaliknya bersyukur tersingkir dalam acara pecut kerana situasi itu dapat memberi kelebihan kepadanya terutamanya bagi mendapat rehat secukupnya sebelum kembali beraksi di Velodrome Izu.

Katanya, mengikut perancangan asal bersama jurulatihnya, John Beasley, beliau memaklumkan tidak akan menumpukan peluang beraksi di suku akhir sekiranya tidak berupaya mengatasi pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland, dalam perlumbaan pusingan ketiga 1/8.

“Sekiranya masuk suku akhir, akan jumpa pelumba sama, jika kalah akan bersaing dalam perlumbaan penentuan lima hingga lapan terbaik, jadi akan ada banyak perlumbaan.

“Ia akan menyebabkan saya penat dan tak dapat cukup rehat, jadi amat penting untuk kita atur strategi betul untuk beri tumpuan penuh dalam keirin,” katanya dalam video yang dimuat naik dalam saluran YouTube Azizul Awang bertajuk ‘Pecutan Hari Kedua | Perjalanan Azizul Awang Mengejar Kilauan Emas’, pada Khamis.

Hoogland yang memecahkan rekod Olimpik dengan masa 9.215 saat dalam pusingan kelayakan pada Rabu (4 Ogos), memenangi perlumbaan dengan mencatatkan masa 9.831s iaitu 0.040s lebih pantas daripada Azizulhasni pada perlumbaan Saringan Satu peringkat ketiga 1/8.

Kekalahan itu menyaksikan Azizulhasni terpaksa beraksi dalam Saringan Satu perlumbaan Repechages 1/8 namun sekadar menduduki tempat kedua di belakang juara bertahan, Jason Kenny dari Great Britain yang merekodkan masa 10.066 saat untuk memenangi perlumbaan itu, manakala pelumba tuan rumah, Yuta Wakimoto ketiga.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai prestasi pada Khamis, pelumba berusia 33 tahun itu tetap gembira dengan kayuhan diperagakannya walaupun terkandas di peringkat ketiga.

Menurutnya, pelumba yang bersaiz besar mempunyai kelebihan dari segi tenaga untuk menguasai acara pecut berbanding pelumba yang bersaiz kecil sepertinya.

Juara dunia dari Dungun, Terengganu itu pada masa sama memohon maaf kepada rakyat Malaysia susulan kegagalannya untuk mara lebih jauh dalam acara pecut.

ARTIKEL BERKAITAN: Azizulhasni, Mohd Shah Firdaus gagal ke suku akhir acara pecut

Selain Azizulhasni, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak berjaya mara ke suku akhir selepas tewas dalam Saringan Dua perlumbaan Repechages 1/8.

Pelumba berusia 25 tahun itu menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, di belakang pelumba Perancis Sebastien Vigier yang memenangi perlumbaan dengan catatan 10.169s, manakala Sam Webster dari New Zealand di tempat kedua.

Sebelum itu, Muhammad Shah Firdaus gagal membalas dendam kekalahan kepada Harrie Lavreysen dalam perlumbaan Pusingan Pertama 1/32 semalam, apabila sekali lagi tewas kepada pelumba Belanda itu yang mencatatkan masa 9.635s untuk memenangi Saringan Dua perlumbaan 1/8.

Bagaimanapun, beliau masih mempunyai peluang akhir untuk menyinar di negara matahari terbit apabila turut dijadual beraksi bersama Azizulhasni dalam acara keirin. - Bernama