MBMB anjur pertandingan vlog

Mansor (tengah) ketika pelancaran pertandingan vlog sempena sambutan ulang tahun ke 16 MBMB.
Mansor (tengah) ketika pelancaran pertandingan vlog sempena sambutan ulang tahun ke 16 MBMB.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil inisiatif menyemarakkan Tahun Melawat Melaka 2019 menerusi penganjuran pertandingan Vlog MBMB 2019.

Datuk Bandarnya, Mansor Sudin berkata, penganjuran pertama kali menggunakan medium seperti itu seiring dengan kerancakan media sosial tersebut yang semakin popular dan digemari dalam kalangan masyarakat masa kini.

Menurutnya, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM22,500 bagi keseluruhan hadiah wang tunai termasuk hadiah tempat pertama pemenang bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,000, penginapan hotel dan sijil penyertaan; hadiah kedua RM5,000, diikuti tempat ketiga RM3,000 selain hadiah sampingan seperti suntingan terbaik, 'catchy tagline, 'like' dan 'share' tertinggi masing-masing berjumlah RM2,500.

Katanya, pertandingan bermula 1 Mac hingga 31 Mac depan itu memberi penekanan kepada beberapa elemen yang perlu dimasukkan dalam rakaman video yang dicipta seperti makanan, jalan-jalan, jom membeli-belah dan kebudayaan.

"Bagi pertandingan ini, setiap peserta akan dikenakan bayaran sebanyak RM100 dan kita terbuka sama ada penyertaan secara individu ataupun berkumpulan selain peserta juga boleh menghantar seberapa banyak penyertaan dengan menggunakan borang asal.

Mansor (dua, kanan) bersama tiga ikon yang juga artis untuk bersama mempromosikan pertandingan berkenaan.
Mansor (dua, kanan) bersama tiga ikon yang juga artis untuk bersama mempromosikan pertandingan berkenaan.

"Apa yang penting video yang dihasilkan bertemakan 'The Uniqueness of Melaka City' dan video terbabit tidak boleh menyentuh sensitiviti perkauman, agama dan politik dengan berdurasi tidak melebihi lima minit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pertandingan Vlog MBMB sempena sambutan ulang tahun ke-16 Bandaraya Melaka Bersejarah 2019, di Hotel Hatten, Banda Hilir, di sini, semalam.

Artikel Berkaitan:

Mansor berkata, pihaknya juga yakin penglibatan beberapa artis seperti Ronie Hussein, Ryan Deedat dan Sarah Fazny akan menarik lebih ramai penyertaan yang dianggarkan 1,000 hingga 1,500 penyertaan dalam tempoh sebulan kerana percaya masing-masing mempunyai peminat dan pengikut yang ramai sekali gus menjadikan mereka sebagai ikon bagi pertandingan tersebut.

"Ini juga satu usaha MBMB untuk bersama memainkan peranan bagi menarik kedatangan pelancong ke negeri ini bertepatan Tahun Melawat Melaka pada tahun ini dan Tahun Melawat Malaysia 2020," katanya.

Dalam pada itu, borang penyertaan boleh diperoleh dengan memuat turun dari laman sesawang MBMB dan diserahkan sebelum tarikh tutup pertandingan.