71.2 peratus rakyat Selangor terima sekurang-kurangnya satu dos vaksin

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 71.2 peratus rakyat Selangor telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Vaksin Selangor (Selvax) setakat Khamis.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor terus memacu usaha vaksinasi dengan pencapaian terkini sejumlah 4.89 juta dos vaksin telah disuntik melalui PICK.

Beliau berkata, tambahan menerusi Selvax pula sebanyak 225,628 dos vaksin telah disuntik kepada rakyat di negeri tersebut.

"Program vaksinasi yang sedang giat digerakkan di seluruh Selangor melalui PICK dan Selvax akan memperlihatkan hasilnya menjelang September depan ke arah mewujudkan imuniti kelompok di kalangan rakyat di negeri berkenaan," katanya menerusi Facebook beliau pada Khamis.

Sementara itu, dalam hantaran berbeza, Amirudin turut menegaskan isu integriti penjawat awam di Selangor yang sedang giat dibangkitkan baru-baru ini.

Katanya, kerajaan Selangor berpendirian tegas, jelas dan tidak berkompromi ke atas sebarang bentuk penyelewengan di setiap lapisan.

“Namun kita juga berpegang kepada prinsip 'one is innocent until proven guilty'.

“Maka segenap lapisan perkhidmatan kerajaan Selangor harus terus bergerak ke hadapan demi memastikan sistem penyampaian yang lebih efektif dan efisien tanpa berkompromi dengan aspek integriti,” katanya.

Artikel Berkaitan: