X

Kindly register in order to view this article
!

Iran berminat bekerjasama dengan Malaysia berkaitan industri halal

Khairuddin
A
A

KUALA LUMPUR - Iran berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia berkaitan industri halal selain menyatakan hasrat untuk mengimport sehingga satu juta tan metrik minyak sawit negara, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau pada Khamis menerima kunjungan hormat Duta Iran Ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Ali Asghar Mohammadi di Putrajaya.

“Pelbagai perkara dibincangkan bersama TYT Duta Iran antara lain termasuk kepakaran teknologi nano yang dimiliki Iran. Untuk makluman, Iran adalah negara keempat terbaik dunia dalam menghasilkan teknologi nano dan TYT Duta Iran mengajak Malaysia mengambil manfaat itu khususnya dalam kajian berkaitan sawit dan getah.

“Selain itu, beliau menekankan kepentingan industri keselamatan makanan dan Iran amat menghormati industri halal Malaysia sebagai yang terbaik di dunia. Untuk itu, Iran sangat berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia berkaitan industri halal,” kata Khairuddin menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau pada Khamis.

Menurut beliau, kepentingan minyak sawit dalam memenuhi penggunaan minyak dan lelemak negara berkenaan kini mencapai sebanyak 2.2 juta tan metrik setiap tahun.

Pada 2020, eksport minyak sawit Malaysia ke Iran dianggarkan berjumlah 320,000 tan metrik. Sehingga Mei 2021 sahaja, sebanyak 238,683 tan minyak sawit bernilai lebih RM970 juta dieksport ke negara itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!