Kes bergejala serius indikator baharu peralihan fasa PPN: Tengku Zafrul

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes bergejala serius akan dijadikan indikator baharu untuk peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa Tiga dan Empat.

Menteri Penyelaras PPN, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia akan menggunakan proksi kes kemasukan hospital baharu bagi Covid-19 yang disesuaikan untuk kategori tiga, empat dan lima.

“Setelah mencapai kadar vaksinasi 40 peratus penduduk dewasa dan ke atas, bilangan kes baharu Covid-19 menjadi kurang relevan kerana kebanyakan kes adalah kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan (kategori satu dan dua) sekali gus mengurangkan beban terhadap infrastruktur kesihatan awam.

“Bagaimanapun, indikator kadar vaksinasi serta kadar penggunaan unit rawatan rapi (ICU) masih dikekalkan,” katanya dalam Laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana) ke-64.

Zafrul yang juga Menteri Kewangan berkata, berdasarkan data dan sains, kadar vaksinasi penduduk yang tinggi membantu mengurangkan kes bergejala serius.

Pemerhatian ini, katanya, selaras bukan sahaja dengan pengalaman antarabangsa tetapi juga untuk Sarawak dan Labuan.

Beliau berkata, selaras dengan perubahan nilai ambang untuk peralihan ke fasa dua dan fasa tiga, Perlis, Sarawak dan Labuan dilihat memenuhi nilai ambang yang ditetapkan dan berjaya melangkah ke fasa tiga.

“Perlis sudahpun menepati kesemua nilai ambang sebelum ini untuk beralih ke fasa tiga, manakala Sarawak telahpun mencapai kadar vaksinasi 63.7 peratus penduduk dewasa, melepasi nilai ambang bagi fasa empat untuk indikator ini iaitu 60 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun jumlah kes Covid-19 di Sarawak melebihi 300 sehari, tetapi bilangan kes setiap hari yang dikenal pasti kategori tiga, empat dan lima kurang daripada 10 kes atau dua peratus daripada kes yang dilaporkan,” katanya.

Menurutnya, situasi di Labuan merupakan satu kejayaan kerana walaupun pernah mengalami keadaan ‘tenat’ dengan penularan tak terkawal, namun hasil gerakan vaksinasi secara besar-besaran, kes baharu serta kes di ICU jatuh dengan ketara.

“Selaras dengan pengalaman Sarawak, Labuan juga menunjukkan penurunan kes baru secara keseluruhan dan kejatuhan ketara kes di ICU yang sangat rendah seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk,” katanya. - Bernama