Hari mengecewakan buat Malaysia

Hasrat ratu terjun negara, Pandelela Rinong untuk menghadiahkan pingat buat kem negara dalam acara 10 meter (m) platform wanita individu akhir tidak kesampaian. - Foto Majlis Sukan Negara
Hasrat ratu terjun negara, Pandelela Rinong untuk menghadiahkan pingat buat kem negara dalam acara 10 meter (m) platform wanita individu akhir tidak kesampaian. - Foto Majlis Sukan Negara
A
A
A

TOKYO - Keputusan mengecewakan. Begitulah yang boleh disimpulkan pencapaian kontinjen Malaysia pada hari ke-14 Sukan Olimpik Tokyo 2020 berlangsung pada Khamis.

Acara terjun dan berbasikal yang diletakkan harapan untuk menyumbangkan pingat buat Malaysia pada temasya Olimpik kali ini, gagal menyerlah apabila atlet negara kecundang dalam acara masing-masing pada Khamis.

Harapan untuk melihat ratu terjun negara, Pandelela Rinong untuk menghadiahkan pingat buat kem negara dalam acara 10 meter (m) platform wanita individu pada Khamis, tidak kesampaian apabila penerjun berusia 28 tahun itu menamatkan cabaran di kedudukan terakhir daripada 12 peserta di pentas akhir.

Pandelela yang meraih pingat gangsa dalam acara berkenaan di Olimpik London 2012, secara keseluruhan mengumpul 245.85 mata selepas lima terjunan.

Pingat emas dimenangi penerjun China Quan Hongchan yang mengumpul 466 mata, manakala rakan senegaranya Chen Yuxi meraih perak (425.40 mata), sementara pingat gangsa milik penerjun Australia Melissa Wu yang mengutip 371.40 mata.

Kegagalan Pandelela menyumbangkan pingat itu menyaksikan kem terjun negara gagal membawa pulang sebarang pingat pada temasya Olimpik kali ini.

Malah, harapan untuk melihat kilauan pingat di Velodrom Izu, Shizuoka, kira-kira 175 kilometer dari bandar raya ini, dalam acara pecut individu lelaki juga musnah selepas dua wakil negara gagal mara ke peringkat suku akhir.

Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom gagal mengesahkan tempat dalam kelompok lapan pelumba terbaik, apabila tewas dalam perlumbaan repechages, petang Khamis.

Artikel Berkaitan:

Azizulhasni terpaksa akur dengan kehebatan juara bertahan, Jason Kenny dari Great Britain dalam perlumbaan itu, yang menewaskannya bersama pelumba tuan rumah Yuka Wakimoto.

Nasib sama turut menimpa Muhammad Shah Firdaus apabila pelumba muda negara itu dan Sam Webster dari New Zealand, kecundang di tangan Sebastiem Viegier dari Perancis.

Namun, Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman, berpeluang menebus kekecewaannya itu apabila turun beraksi dalam acara kegemaran beliau, bersama Muhammad Shah Firdaus bagi acara keirin yang akan bermula Sabtu ini.

Sementara itu di Kasumigaseki Country Club, pemain golf wanita utama negara Kelly Tan gagal memperbaiki kedudukannya selepas tamat pusingan kedua pada Khamis.

Pemain berusia 26 tahun itu menamatkan saingan pusingan kedua sekali lagi dengan catatan dua atas par 73 untuk berkongsi kedudukan ke-49 bersama tiga pemain lain, daripada keseluruhan 60 pemain.

Keputusan itu menyaksikan Kelly yang berkongsi kedudukan ke-41 pada pusingan pertama semalam selepas melakukan dua atas par 73, mencatat keseluruhan empat atas par 146 selepas dua daripada empat pusingan acara berkenaan.

Sebelum ini, kontinjen negara menyasarkan tiga pingat pada temasya Olimpik Tokyo menerusi acara badminton, terjun dan berbasikal.

Setakat ini, Malaysia hanya meraih satu pingat gangsa menerusi pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang juga pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo, dalam acara beregu badminton lelaki. - Bernama