X

Kindly register in order to view this article
!

Peguam Kanan Persekutuan dipenjara sehari, denda RM130,000 kerana rasuah

A
A

BUTTERWORTH - Seorang bekas peguam kanan Persekutuan dipenjara sehari dan didenda RM130,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bersetuju menerima suapan berjumlah RM700,000 tahun lepas.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Cheah Yit, 43.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari terhadap Lim bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Cheah Yit didenda RM50,000 atau penjara tiga bulan bagi pertuduhan pertama, dan masing-masing RM40,000 atau penjara tiga bulan untuk pertuduhan kedua dan ketiga. Tertuduh membayar denda.

Cheah Yit dihantar ke Penjara Jawi, Pulau Pinang untuk menjalani hukuman penjara sehari.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas Cheah Yit mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah butiran palsu yang dapat dinilai atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Lim didakwa sebagai seorang Peguam Kanan Persekutuan yang bertugas di Pejabat Jabatan Peguam Negara, Pulau Pinang telah bersetuju menerima wang tunai masing-masing RM500,000, RM100,000, RM100,000 daripada Goh Kim Heong, yang mempunyai urusan rasmi dengan Pegawai Pendakwaan Negeri Pulau Pinang iaitu bagi menuduh Chan Eng Leong di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah pusat hiburan keluarga di Gurney, Georgetown di Pejabat SPRM Alor Setar, Kedah dan di sebuah hotel di Jalan Bukit Gambir di sini, antara Mac tahun 2020 dan Jun 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Devanandan S Subramaniam. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!