'Tuduhan menjengkelkan, penghinaan kepada UMNO'

Jamil Khir Baharom
Jamil Khir Baharom
A
A
A

ALOR SETAR - Dakwaan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperdayakan Yang di-Pertuan Agong berhubung jumlah sebenar ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah tuduhan menjengkelkan.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tuduhan itu merupakan satu penghinaan bukan sahaja kepada Presiden UMNO, malah kesemua lebih tiga juta ahli parti.

Menurutnya, PN Kedah sepatutnya membangkitkan persoalan adakah kerajaan PN memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen untuk kekal memerintah selain perlu diabsahkan tanpa dilengahkan.

“Jika diteliti berdasarkan perkembangan semasa, jumlah bilangan yang menyokong PN semakin berkurang dan menjadi tanda tanya dari aspek perlembagaan.

"Nampaknya PN Kedah keliru dengan fakta sehingga Ketua Penerangan PN Kedah, Khairul Anuar Ramli terlalu gopoh untuk memahami rentetan peristiwa berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, PN Kedah menggesa polis menyiasat Ahmad Zahid kerana mempunyai niat memperdayakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung sokongan sebenar ahli Parlimen daripada parti itu terhadap kerajaan PN.

Ia selepas Muhyiddin menjelaskan bahawa pada pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong pada pagi Rabu, Seri Paduka Baginda memaklumkan sebanyak lapan ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN, di mana bertentangan dengan kenyataan Ahmad Zahid pada sidang akhbar pada Selasa bahawa terdapat 12 ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan.

Sehubungan itu, Khairul Anuar membuat laporan di Balai Polis Kulim Hi-Tech berhubung perkara itu pada petang Rabu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: PN Kedah gesa polis siasat Presiden UMNO

Sementara itu, Jamil Khir berkata, lapan ahli Parlimen UMNO yang menarik diri daripada menyokong kerajaan PN dan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah senarai awal yang diberikan kepada Speaker Dewan Rakyat sebagai pemakluman bagi menyusun atur kerusi Dewan, bukan barisan kerajaan.

“Pada 30 Julai lalu, surat akuan ahli Parlimen berkenaan dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda. Kemudian disusuli dengan senarai surat akuan tambahan senarai ahli Parlimen UMNO yang menarik diri dipersembahkan secara berturutan ke hadapan Yang di-Pertuan Agong,” jelas beliau.

Malah, katanya, selepas ini akan ada lagi beberapa nama yang dikemukakan bagi tujuan sama.

“Tuduhan memperdaya Yang di-Pertuan Agong tidak berbangkit. Apa yang dilakukan Ahmad Zahid adalah urusan rasmi beliau atas kapasiti ketua parti. Ia dilakukan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dilaksanakan,” katanya.

Justeru, Jamil Khir berkata, rakyat perlu diyakinkan bahawa kerajaan memiliki legitimasi yang kuat, selain jumlah majoriti perlu dibuktikan secara 'gentleman' dan perlu disegerakan bagi pengabsahan pada sidang khas Parlimen.

“Pendekatan itu lebih afdal bagi merungkaikan segala persoalan berbangkit yang menjadi bualan netizen dan rakyat, berbanding menangguhkan sidang Parlimen sehingga September,” katanya.