Status kesihatan tidak boleh didedah tanpa kebenaran: MAM

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Status kesihatan seseorang adalah maklumat persendirian dan perkara itu dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

Majlis AIDS Malaysia (MAM) dalam kenyataan memaklumkan, mana-mana pihak perlu mendapatkan persetujuan sebelum mendedahkan tahap kesihatan seseorang terutamanya kepada orang awam.

"Menggunakan istilah 'HIV' untuk mensensasikan berita juga adalah satu perbuatan yang tidak beretika, terutamanya apabila masyarakat di negara ini masih mempunyai stigma dan diskriminasi yang tinggi serta kurang pemahaman terhadap transmisi HIV.

"Justeru, media diharapkan memainkan peranan penting dalam mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap penghidap virus HIV sekali gus membantu kerajaan dalam agenda mengakhiri AIDS menjelang 2030," kata MAM dan kenyataan di Facebooknya pada Khamis.

Sementara itu, MAM berkata, apabila orang yang hidup dengan HIV mendapatkan rawatan dan mencapai undetectable viral load (UVL), virus tidak akan ditransmisi kepada pasangan ataupun anak.

"Mangsa rogol dan orang yang terdedah kepada HIV perlu dirujuk ke fasiliti kesihatan dan akan diberikan rawatan pencegahan selepas terdedah kepada HIV (PEP) dalam masa 72 jam bagi menghentikan jangkitan," katanya.

"Merogol merupakan jenayah dan pihak MAM menyarankan supaya mangsa rogol perlu dilindungi tanpa sebarang stigma.

"Akses kepada kaunseling, khidmat dan rawatan kesihatan seksual perlu disampaikan kepada mangsa," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: